Saturday, January 15, 2011

100 Keluarga Miskin Terima Bantuan NKRA

Seramai 100 keluarga miskin dan miskin tegar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir menerima Bantuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Pegawai Pembangunan DUN itu, Yusof Awang Hitam berkata, daripada jumlah itu, 74 orang menerima bantuan berupa kotak makanan yang mengandungi beras, susu, milo dan barangan keperluan dapur.

"Sementara selebihnya merupakan pelajar sekolah yang menerima bantuan persekolahan seperti kasut, beg dan pakaian seragam," katanya ketika berucap pada majlis itu di Kampung Pulau Bahagia semalam.

Sumbangan itu disalurkan kepada keluarga isi rumah yang diperoleh daripada senarai e-Kasih dan ia merupakan program Akhiri Zaman Miskin (Azam) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Keluarga yang tersenarai dalam program e-Kasih dipilih oleh 20 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN berkenaan.

Menurut Yusof, walaupun ada sebahagian penerima telah mendapat elaun bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan itu meringankan beban perbelanjaan ahli keluarga terbabit.

"Memandangkan sebahagian besar golongan ini adalah petani, musim tengkujuh yang melanda sedikit sebanyak telah menjejaskan pendapatan mereka.

"Walaupun tiada penduduk di DUN ini terlibat dengan banjir, kami sentiasa bersedia menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan," jelasnya.

Katanya, pada tahun ini pihaknya akan melipatgandakan usaha mendekati rakyat melalui pelbagai program kemasyarakatan selain kunjungan dari rumah ke rumah.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Hulu Terengganu berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan tiada individu atau keluarga tercicir daripada mendapat bantuan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment