Saturday, January 15, 2011

Tawar Gaji Sesuai Untuk Graduan Pengajian Islam

Kerajaan diminta menawarkan lebih banyak peluang kepada graduan lepasan ijazah dalam Pengajian Islam untuk mengisi jawatan imam dan bilal mengikut gred gaji bersesuaian dengan tahap akademik dimiliki.

Timbalan Pengerusi Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, langkah itu perlu untuk menampung jumlah imam dan bilal yang masih tidak mencukupi di negeri ini.

“Meskipun jumlah kekosongan imam dan bilal di negeri ini tidak dikategorikan sebagai kritikal, namun langkah proaktif perlu dilaksanakan segera memandangkan tidak ramai yang sanggup memegang jawatan penting itu.

“Tindakan menawarkan gred gaji bersesuaian dengan tahap pendidikan dimiliki graduan dalam bidang agama, perlu dikaji sekali gus menarik minat golongan muda mengisi kekosongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh di Dewan Abbas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tok Jiring, di Kuala Terengganu.

Menurut Muhammad, sebelum ini jawatan berkenaan hanya ditawarkan secara kontrak kepada pemegang ijazah, yang mana gaji dan elaun dibayar berdasarkan kelulusan akademik dimiliki.

“Bagaimanapun, kita tidak nafikan tidak ramai golongan muda berminat mengisi jawatan penting dalam agama ini kerana bimbang pelbagai persepsi masyarakat terutama kredibiliti mereka memegang jawatan itu.

“Justeru, saya berharap masyarakat sama-sama memainkan peranan sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada golongan muda bagi memastikan mereka terus berkeyakinan melaksanakan tugas nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment