Wednesday, January 5, 2011

2 Penoreh Getah Disyaki Edar Dadah Ditahan

Roslan Abd. Wahab menunjukkan dadah dan ubat batuk yang dirampas di sebuah kedai menjual pakaian terpakai di Kampung Pakoh Jaya, Kuala Terengganu pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam.
Dua penoreh getah yang menjadikan kegiatan mengedar dadah untuk menampung kehidupan dan ketagihan mereka menerima padah apabila ditahan polis dalam serbuan di Kampung Pakoh Jaya di sini Ahad lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu, kedua-dua lelaki berkenaan diberkas apabila taktik berselindung di sebalik perniagaan pakaian terpakai yang turut diusahakan di kampung itu dihidu pihak polis.

Turut ditemui bersama kedua-dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu adalah beberapa jenis dadah iaitu heroin, syabu, pil kuda dan ubat batuk yang dianggarkan bernilai RM16,600.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahab berkata, pihaknya percaya kesemua dadah yang ditemui itu digunakan untuk tujuan pengedaran di kawasan sekitar daerah tersebut.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek memerlukan RM6,000 untuk membiayai bekalan dadah sebulan selain mereka juga merupakan penagih dadah tegar sejak 10 tahun lalu.

"Ketika pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan berkenaan yang beroperasi 24 jam itu, dadah yang ditemui disyaki milik suspek berusia 35 tahun yang juga dikehendaki polis berhubung satu lagi kes dadah lain.

"Sementara itu, seorang lagi suspek berusia 31 tahun pula memiliki empat rekod jenayah berkaitan pecah rumah dan curi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.'

Mengulas lanjut, Roslan berkata, dengan penahan itu, polis mengenal pasti antara tujuh hingga lapan orang terlibat dalam kegiatan yang sama dengan mendapatkan bekalan dari dua suspek itu untuk diedar di beberapa kawasan termasuk di Kuala Terengganu dan Setiu.

Katanya, kedua-dua suspek yang disiasat di bawah Seksyen 39(B), 39A(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 akan ditahan reman sehingga 9 Januari ini untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment