Tuesday, January 4, 2011

Terengganu Sertai Kempen Kurangkan Guna Plastik


Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Yang Perlu Disokong oleh Semua Pihak

Bawalah raga dan beg daripada bahan kitar semula apabila mengunjungi pasar raya untuk membeli-belah bagi mengurangkan penggunaan beg plastik.

Ini kerana jumlah beg plastik yang dibuang oleh pengguna di negara ini dapat dikurangkan dan pada masa yang sama pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan.

Rakyat Terengganu, termasuk peniaga dan pemilik premis perniagaan seharusnya meletakkan komitmen tinggi terhadap Kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada setiap hari Sabtu bermula 1 Januari 2011.

Di Pulau Pinang dianggarkan sejuta tan sampah terutamanya plastik dibuang oleh pengguna di negeri itu. Apakah kita rakyat Terengganu mahu menghadapi masalah yang sama?

Sebaliknya beberapa negara maju seperti Korea dan Jepun di mana golongan ibu yang mempunyai bayi menggunakan lampin yang boleh dibasuh berbanding di negara ini yang kebanyakannya menggunakan lampin pakai buang. Dianggarkan tiga perempat daripada bahan buangan di negara ini adalah lampin pakai buang.


Apa yang menarik banyak pasar raya besar dan kedai Mesra Petronas sudah melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada setiap Sabtu bermula 1 Januari lalu.

Kerana itu langkah yang diambil Kerajaan Negeri untuk mengadakan siri jelajah ke seluruh daerah di Terengganu pada setiap Sabtu supaya mengurangkan penggunaan beg plastik akan memupuk kesedaran di kalangan rakyat negeri ini perlu disokong dan dipraktikkan.

Ia bertujuan mewujudkan udara dan persekitaran yang bersih selain mengelakkan penggunaan beg plastic berleluasa.

Langkah ini selaras dengan usaha kerajaan Pusat yang mengambil inisiatif untuk menggalakkan langkah-langkah hijau seperti "Hari Tanpa Beg Plastik" yag kini sudah dilaksanakan di Selangor, Pulau Pinang dan Sabah.

Kempen ini turut mendapat sambutan daripada pelbagai pihak antaranya pusat membeli-belah seperti Pasar Raya Jaya Jusco, Cold Storage, Parkson, 7-Eleven dan Giant Hypermarket yang tidak akan memberikan beg plastik secara percuma kepada pelanggan pada setiap Isnin, Khamis dan Sabtu bergantung kepada kawasan.

Bayaran 20 sen akan dikenakan bagi sekeping beg plastik yang diminta oleh pelanggan dengan tujuan mengurangkan pelepasan karbon dioksida di udara.

Jadi apabila kerajaan negeri berusaha untuk menyedarkan rakyat di negeri ini tentang penggunaan beg plastik yang berleluasa yang berbahaya untuk kesihatan dan alam sekitar, ia hendaklah dijadikan suatu komitmen oleh semua pihak.

Berikutan itu, orang ramai digalakkan supaya mengambil inisiatif sendiri seperti membawa beg dari rumah ketika membeli-belah di pasar raya selepas ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, jika mereka masih mahu mendapatkan beg plastik, maka mereka perlu membayar 10 sen atau 20 sen.

“Wang tersebut akan kita masukkan ke dalam dana khas yang akan diguna bagi melaksanakan program kepenggunaan dan kemasyarakatan yang menjurus ke arah pemuliharaan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu kelmarin (1 Januari 2010).

Kempen yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara itu membabitkan semua pasar raya besar, pasar raya serta beberapa premis perniagaan terpilih.

Apa yang menarik ialah sebanyak 13 pasar raya di Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman telah bersetuju memberi kerjasama kepada kerajaan bagi menjayakan kempen 'Kurangkan Penggunaan Beg Plastik'.

Menurut Dr A Rahman, langkah itu akan diperluaskan ke daerah lain di Terengganu dalam masa terdekat. "Kita harap masyarakat akan memberikan kerjasama bagi menjayakan kempen ini," katanya Sabtu lalu.

Dr A Rahman berkata mulai hari itu dan setiap Sabtu selepas ini, pasar raya berkenaan tidak akan membekalkan beg plastik percuma kepada pengguna.

Sebaliknya pengguna akan dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik jika mereka memerlukannya dan sebahagian daripada wang itu akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan pengguna Terengganu, kata beliau.

Sementara itu, Abd Ghani berkata pihaknya akan mendapatkan maklum balas pasar raya terlibat mengenai tahap penerimaan pengguna terhadap kempen yang telah lama dilakukan di sekitar di Kuala Lumpur dan Selangor itu.

Beliau berharap program itu akan menjadikan masyarakat di Terengganu semakin peka dan prihatin terhadap penjagaan alam sekitar dan pembudayaan gaya hidup lestari.

"Saya berharap agar semua pihak bersama-sama menjayakan kempen ini," katanya.

No comments:

Post a Comment