Lebih 2,000 kaum Cina di daerah Kemaman menerima 'duit raya' sempena sambutan Tahun Baru Cina dalam satu majlis di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Kijal, di Kemaman, kelmarin.
Mereka yang terdiri daripada kalangan keluarga miskin, warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal masing-masing menerima RM200 dan RM300.
Sumbangan kerajaan negeri keseluruhannya berjumlah lebih RM500,000 itu yang merupakan tradisi tahunan, disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Ia bagi memberikan lebih keceriaan kepada mereka dalam mengatur persiapan menyambut hari kebesaran.
Mereka adalah sebahagian daripada 8,551 rakyat berketurunan Cina di Terengganu yang disenaraikan bagi pemberian itu dengan sejumlah RM2.4 juta peruntukan.
Menteri Besar ketika berucap pada majlis itu berkata, kerajaan negeri sentiasa menghulurkan bantuan yang diperlukan kepada setiap penduduk yang layak tanpa mengira kaum ataupun fahaman politik mereka.
Katanya, banyak kemudahan dan bantuan disediakan bagi mereka yang benar-benar memerlukan agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.
"Warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan golongan miskin perlulah mendaftarkan diri dengan pejabat khidmat DUN masing-masing agar mereka dapat menikmati bantuan yang disediakan kerajaan ini," katanya.
Seorang warga emas dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ang Ching Wong, 65, yang menerima sumbangan itu berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan mereka.
"Setiap tahun saya terima duit raya dan ia dapat membantu saya untuk menyediakan pelbagai kelengkapan untuk menyambut Tahun Baru Cina dalam suasana yang meriah seperti orang lain juga," katanya.
Seorang ibu tunggal, Chung Wah, 74, dari DUN Cukai berkata, dia gembira kerana mempunyai lebih wang untuk berbelanja dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.
"Kami gembira kerana hari ini Menteri Besar sendiri turun padang untuk bertemu dan membantu kami," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment