Monday, January 17, 2011

Ahmad Said Dijangka Umum Saf Kepimpinan UMNO Terengganu Hari Ini

http://hambali1.blogspot.com/

Pada satu majlis santai wartawan daripada media cetak dan elektronik sekitar Kuala Terengganu dengan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Rabu (13 Jan 2011) lalu, antara soalan dikemukakan ialah bilakah saf kepimpinan UMNO Terengganu akan diumumkan?

Pertanyaan itu timbul berikutan pemilihan Menteri Besar , Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO menggantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkuatkuasa 1 Januari 2011 lalu.

Hishamuddin yang menjadi Pengerusi hampir setahun lapan bulan iaitu bermula pada 24 April 2009 melantik Tengku Putera sebagai Setiausaha, Datuk Rahin Mohd.Said (Bendahari) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek sebagai Ketua Penerangan.

Pasukan Ahmad Said ketika mula mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu daripada Datuk Seri Idris Jusoh pada 2008.

Sehingga ini Ahmad Said membisu seribu bahasa. Dia mengunci kemas mulutnya daripada menyebut sebarang nama atau barisan yang bakal menganggotai jawatankuasa perhubungan UMNO yang baru.

Malah, pada dua majlis bersama veteran UMNO Terengganu pada Khamis lalu, iaitu di Dungun dan Kemaman, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu itu tidak pun memberikan isyarat siapa akan dilantik.

Ada pihak mengatakan kelambatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, mengumumkannya kerana ‘ada masalah’ memilih Ketua Penerangan dan Bendahari.

Ada pula yang mengatakan beberapa pihak cuba melobi Ahmad Said untuk mendapatkan jawatan Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu menggantikan Tengku Putera.

Jawapan yang diberikan oleh Tengku Puteri pada majlis minum petang Bicara Bersama Media, anjuran Unit Komunikasi Negeri (UKOM) di sebuah hotel di Kuala Terengganu ialah semua Ketua UMNO bahagian di negeri itu memberi mandat kepada kepimpinan parti untuk memilih saf kepimpinan UMNO Terengganu yang baru.

“UMNO Terengganu yakin Menteri Besar akan mendapat kerjasama penuh daripada semua ketua bahagian dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam usaha memantapkan lagi parti.

“Selepas ini, kita (UMNO Terengganu) akan memperkemaskan lagi jentera parti dan melakukan gerak kerja bagi menambah sokongan pengundi kepada parti,” tambahnya.
Tengku Putera berkata, UMNO Terengganu makin bertenaga dalam melaksanakan gerak kerja, berikutan pelantikan Menteri Besar sebagi teraju utama parti.

Saya melihat Ahmad Said cuba membentuk satu barisan yang mantap dan bertenaga ‘sekembali semula beliau’ memimpin UMNO Terengganu.

Berikutan itu, Menteri Besar itu cuba mengenal pasti calon terbaik dan tidak mahu dilabelkan sebagai kemimpinan lemah dan kurang bertenaga.

Perkara lain pastinya beliau mahu supaya nama yang akan diajukan kepada Perdana Menteri dirahsiakan dahulu dan adalah baik mendapat persetujuan barulah diumumkan.
Namun, seperti biasa ada pihak yang melobi pelbagai cara untuk dilantik ke dalam saf ini.

Tengah hari esok (hari ini) dikatakan ada majlis yang dijangka akan berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya yang sudah pasti akan dihadiri oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian, termasuklah Ketua Umno bahagian Marang, Yahya Khatib Mohamad yang telahpun dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Menurut sebuah blog di Terengganu, amat sukar kali ini untuk diramalkan siapa pula akan dilantik. Namun begitu beberapa nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak berjawatan utama di bahagian disebut-sebut.

Sebenarnya jawatan-jawatan itu bukanlah ‘mahkota’ tetapi suatu amanah yang perlu dipikul dengan komited dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada parti dan kepimpinan.

“Setia” dan “Usaha” adalah suatu jawatan yang akan menjadi nadi penggerak penting, sebab itu dalam institusi kerajaan Pejabat Setiausaha Kerajaan adalah nadi segalanya.

Malah jika Ahmad Said mahu memantapkan pentadbiran parti, Setiausahanya perlulah seseorang yang kuat bekerja dan proaktif setiap masa, bukan berharap kepada kesetiaan semata-mata.

Bendahari pula bukan sahaja mampu mencri sumber, menyimpan wang dan membelanjakannya secara berhemah, tetapi mestilah seorang yang mampu bersama-sama memastikan ‘tabung’ Umno Terengganu mampu menampung pentadbiran dan operasinya, lebih-lebih lagi menjelang Pilihanraya Umno, PRU 13.

Manakala Penerangan adalah nadi penting dalam sesebuah organiasi parti, jika lumpuh di peringkat ini, maka parti akan dilihat dan dikatakan lumpuh; sedangkan di pihak lawan operasi penerangan begitu hebat sekali.

“Kita tidak boleh ketinggalan dan tidur di masa pihak pembangkang menyerang kita dengan hebatnya,” kata orang-orang Umno yang bersemangat tinggi untuk melihat Umno Terengganu cemerlang.

Mereka berharap dengan kehadiran Ahmad Said selaku Pengerusi Umno dan Menteri Besar dan barisan kepimpinan dan pegawai parti yang bakal dilantik, mampu menggerak dan meneruskan kembali pemerkasaan kegiatan penerangan, turun padang menemui rakyat dan ahli-ahli serta penyokong, selain memperkukuhkan Umno.

Hanya melaluinya impian PAS untuk menggantikan UMNO menjadi angan-angan kosong dan mimpi di siang hari yang berterusan.

Jika pada 2004 dan 2008 Datuk Idris Jusoh berjaya melakukannya, pada pilihan raya umum akan datang, Ahmad Said pula yang akan memimpin UMNO mencipta kejayaannya!

No comments:

Post a Comment