Saturday, January 22, 2011

41 Klinik Guaman Untuk Seluruh Terengganu

Jabatan Bantuan Guaman Terengganu mengatur sebanyak 41 program Klinik Guaman bagi memberi nasihat kepada orang ramai yang menghadapi masalah perundangan.

Pengarahnya, Darmafikri Abu Adam (gambar kiri) berkata, ia akan diadakan di daerah-daerah yang ditetapkan pada tarikh yang telah diputuskan sepanjang tahun ini untuk memudahkan orang ramai berurusan.

‘‘Orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat perantaraan bagi sebarang kes berkaitan jenayah, sivil dan syariah melalui program berkenaan,” ujarnya.

Beliau memberitahu Utusan Malaysia, jabatan tersebut juga akan mengatur empat jadual ceramah kesedaran undang-undang.

Katanya, mereka yang layak mendapat khidmat nasihat dan bantuan guaman itu mestilah mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM25,000 setahun dan bayaran yuran yang dikenakan hanya RM2.

“Bagi pemohon yang berpendapatan antara RM25,000 hingga RM30,000 setahun pula, bayaran yang sama juga dikenakan iaitu sebanyak RM2 tetapi dikehendaki memberi sumbangan lain sebanyak RM300 kepada jabatan.

“Pemohon yang ingin mendapatkan bantuan guaman bagi mewakili mereka di mahkamah pula, kes tersebut mestilah berada di bawah bidang kuasa jabatan,” katanya.

Darmafikri menjelaskan, pemohon yang ingin mendapatkan bantuan guaman bagi tujuan tersebut juga perlu mempunyai asas atau merit bagi meneruskan tuntutan mereka di mahkamah.

“Mereka yang ingin hadir hendaklah membawa dokumen-dokumen yang berkaitan bagi memudahkan proses rujukan dan penelitian oleh peguam kami,” ujar beliau.

Program Klinik Guaman bagi daerah Kemaman telah diadakan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah (MRSD) pada 12 Januari lalu dan akan disusuli pada 16 Mac, 11 Mei, 13 Julai, 14 September dan 16 November.

Bagi daerah Dungun, ia akan diadakan di Maktab Rendah Sains Mara pada 24 Februari, 7 April, 2 Jun, 4 Ogos, 6 Oktober dan 8 Disember manakala di Marang, lokasinya pula di MRSD mulai 17 Febuari, 21 April, 23 Jun, 11 Ogos, 20 Oktober dan 22 Disember.

Bagi daerah Besut, ia akan diadakan di MRSD mulai 16 Februari, 20 April, 8 Jun, 10 Ogos, 12 Oktober dan 14 Disember manakala di Setiu, ia berlangsung di MRSD mulai semalam dan akan disusuli pada 10 Mac, 26 Mei, 7 Julai, 8 September dan 24 November.

Klinik Guaman bagi Daerah Hulu Terengganu pula mulai 5 Januari lalu dan akan disusuli pada 2 Mac, 4 Mei, 6 Julai, 7 September dan 22 November.
‘‘Ia juga akan diadakan di Asrama Rusila Marang mulai 26 Januari, 6 April, 15 Jun, 28 September dan 7 Disember,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment