Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (AMPT)Roshali Taha dalam nada sebak semalam berkata: "Saya dan kakitangan APMT cukup merasai kehilangan Tuan Haji Shamsudin Sulong yang banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan sepanjang dua tahun bersama APMT.
“Walaupun Tuan Haji kini memikul tanggungjawab sebagai Pengarah di Unit Komunikasi Negeri (Ukom), kami di APMT masih mengharapkan jasa dan pengalaman untuk bersama-sama membawa misi dan harapan kerajaan negeri, Menteri Besar dan rakyat untuk terus mengecapi kemakmuran dan kesejahteraan,” ujar beliau.
Roshali berkata demikian ketika berucap di Majlis Perpisahan dan Meraikan Jasa bekas Timbalan Pengarah AMPT, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, semalam.
Shamsudin kini memegang jawatan Pengarah Ukom selepas dua tahun berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah APMT.
Sebelum itu, Roshali hadir mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Ketua Penyelia dan Penyelia Parlimen agensi itu dengan membentang pelbagai agenda dan matlamat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.
Menurut Shamsudin, APMT, Ukom, Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar, dan beberapa lagi jawatan penting di bawah pentadbiran Pejabat Menteri Besar perlu memainkan peranan dan melaksanakan objektif di landasan yang betul.
“Oleh itu, kita sebagai kakitangan perlu melaksanakannya sebaik mungkin dan perlu menganggap setiap harapan yang disuarakan pemimpin adalah perkara serius.
“Saya percaya APMT yang terdiri daripada lebih 600 kakitangan sentiasa bersedia dan mampu memainkan peranan, khususnya apa yang diharapkan Menteri Besar ,” katanya.
Katanya, dia tidak ada masalah untuk memberi kerjasama dalam apa jua tugas,kerana APMT dan Ukom perlu bersama-sama menjaga Terengganu.
“Cukup malang bagi kita, sekiranya Terengganu yang kini cukup `gah’ dengan pelbagai infrastruktur, pembangunan dan teknologi moden jatuh ke tangan pembangkang,” katanya.
No comments:
Post a Comment