Monday, January 10, 2011

ASDI Catat Keuntungan RM31.19 Juta Tahun Lalu

Amanah Saham Darul Iman (ASDI) yang diurus oleh PTB Unit Trust Berhad telah mencatat keuntungan RM31.19 juta bagi tahun kewangan 2010 berbanding RM33.29 juta pada tahun 2009.

Ketua Pengawai Eksekutifnya Md Som Mangy berkata pada tahun 2010, ASDI telah mengagih pendapatan 3 sen seunit berjumlah RM12.23 juta berbanding 5 sen seunit berjumlah RM19.82 juta pada tahun sebelumnya.

"Agihan pendapatan 3 sen seunit ini merupakan pulangan 7.56 peratus berbanding nilai aset bersih pada tahun sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan PTB Unit Trust Berhad kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM180,173.35 semalam.

Md Som berkata jumlah nilai aset bersih (NAB) pada tahun 2010 ialah RM180.6 juta, meningkat RM23.4 juta berbanding RM157.2 juta bagi tahun 2009 iaitu peningkatan 14.9 peratus.

Nilai aset bersih seunit ialah 44.32 sen berbanding 39.67 sen pada tahun sebelumnya, meningkat 4.65 sen atau kenaikan 11.72 peratus, katanya.

Katanya dengan agihan pendapatan 7.56 peratus dan pertumbuhan modal atau nilai aset bersih 11.72 peratus, jumlah pulangan pelaburan dalam ASDI bagi tahun kewangan 2010 ialah 19.28 peratus.

Bagi tempoh 1 Nov 2010 hingga 7 Jan 2011, jumlah NAB telah meningkat kepada RM196.7 juta iaitu meningkat RM16.1 juta atau 8.92 peratus dari tempoh sebelumnya, iaitu RM108.6 juta.

Nilai aset bersih seunit ialah 48.17 sen berbanding 44.32 sen, meningkat 3.85 sen atau peningkatan 8.69 peratus, katanya.

Md Som berkata sehingga 7 Jan 2011, jumlah unit dalam edaran ialah 408.4 juta. Berdasarkan jumlah saiz tabung yang diluluskan berjumlah 500 juta, baki unit yang boleh dibeli oleh pelabur ialah 91.6 juta.

Harga jualan berdasarkan nilai aset bersih pada 7 Jan 2011 ialah 48.17 sen seunit.

Berdasarkan jangkaan prestasi pasaran Bursa Malaysia dan serantau pada tahun ini, ASDI dijangka dapat meningkatkan prestasinya termasuk mengagih pendapatan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

No comments:

Post a Comment