Warga emas berusia 110 tahun, Ahmad Md. Isa mempunyai lebih pilihan dalam mencari teman hidup untuk mengubat kesepian apabila seorang lagi wanita menawarkan diri untuk menjadi isterinya.
Wanita berkenaan, Zainab Salleh, 70, (gambar kanan) lebih muda 12 tahun daripada Sanah Ahmad, 82, dari Kuala Lumpur yang mula-mula menawarkan diri untuk menjadi isteri Ahmad selepas membaca kisahnya mencari teman hidup di akhbar baru-baru ini.
Zainab dari Kampung Telaga Papan, Kerteh dekat sini yang tersentuh dengan kisah Ahmad menyatakan kesediaan untuk menjadi isterinya agar usia tua tidak lagi dilalui secara bersendirian.
“Sunyi itu sakit. Jika dia terima, saya sedia tinggal bersamanya di Kedah,” ujar Zainab yang kematian suami 15 tahun lalu.
Ibu kepada lapan orang anak berusia 30 hingga 53 tahun itu berkata, dia memahami mengapa dalam usia yang begitu lanjut Ahmad masih memerlukan teman.
Zainab kini tinggal berseorangan selepas anak perempuan yang menemaninya selama ini berkahwin beberapa bulan lalu dan berpindah mengikut suaminya.
Sebelum ini kata Zainab, dia pernah berkenalan dengan seorang lelaki dari Pasir Puteh, Kelantan dan merancang untuk berkahwin, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana lelaki itu tidak serius.
“Anak-anak belum tahu mengenai hasrat ini dan saya harap mereka dapat menerimanya. Kalau boleh saya mahu seorang peneman hidup, sekurang-kurangnya dapat berbual dan berkongsi rasa,” katanya ketika ditemui semalam.
Sebelum ini Utusan Malaysia menyiarkan tentang keinginan Ahmad untuk berkahwin lagi bagi mengubat kesunyian.
Tahap kesihatan Ahmad yang menetap di Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, Kedah bagaimanapun dilaporkan agak menurun kebelakangan ini.
Ditanya mengenai hajat Sanah yang turut menyuarakan hasrat menjadi isteri Ahmad, Zainab menyerahkan perkara itu kepada takdir.
”Saya maklum ada seorang lagi wanita yang ingin menjadi isteri Ahmad dan saya tidak kisah kerana percaya kepada ketentuan jodoh,” katanya.
Zainab yang kelihatan masih bertenaga berkata, tahap kesihatan Ahmad tidak menjadi soal kerana dalam usia emas tiada seorang pun yang sihat berpanjangan.
No comments:
Post a Comment