Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah memperuntukan bajet RM5 juta dalam usaha memburu kejuaraan dalam kancah Liga Malaysia yang akan bermula pertengahan bulan ini.
Pengurus pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, berkata peruntukan tahun ini adalah tambahan RM1 juta berbanding RM4 juta yang dibelanjakan untuk mempersiapkan pasukan menghadapi Liga Super.
Katanya Terengganu telah menyasarkan untuk meraih Piala Malaysia dan Piala Liga Super musim ini.
"Kita yakin dapat mencapai matlamat itu memandangkan semangat dan prestasi pemain yang begitu memuncak," katanya semalam..
Che Mat, yang juga presiden PBSNT, berkata Terengganu juga akan mendapat khidmat beberapa pemain berwibawa yang diyakini dapat mengukuhkan lagi pasukan.
Antara pemain itu termasuklah penyerang dari Kelantan Md Ailim Fahmi Kamaruddin, pemain tengah daripada Perak, Shafuan Adli Shaari dan Reeshafiq Alwi dari KL Plus FC.
Che Mat berkata pemain telah menunjukkan prestasi yang membersangkan dalam semua posisi dalam beberapa siri ujian yang telah diadakan bagi memilih pemain menyarung jersi Terengganu musim ini.
Selain sesi latihan, katanya, pemain juga mendapatkan suntikan daripada pakar motivasi bagi menguatkan mental dalam menghadapi pertandingan liga musim ini.
Dalam empat perlawanan persahabatan dengan Negeri Sembilan, Felda United, Pos Malaysia dan Kuala Lumpur tanpa khidmat dua pemain kebangsaan itu, pemain semakin menunjukkan keserasian dan peningkatan sekalipun mencatat satu kemenangan dan tiga seri.
“Kalau 10 tahun lalu Terengganu menjulang Piala Malaysia buat pertama kali, tahun ini kita akan cuba mengulanginya,” kata Che Mat.
Terengganu menaruh kepercayaan dengan mengekalkan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim yang mengakui tidak berdepan banyak masalah membentuk pasukan mantap musim ini hasil gandingan pemain berpengalaman dan muka baru.
Skuad Terengganu kini giat menjalani latihan pada setiap petang di padang Pusat Latihan Telekom di Rusila, Marang berikutan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sedang menjalani proses pembaikan.
No comments:
Post a Comment