Tiga remaja termasuk dua beradik lelaki dan perempuan masing-masing berumur 14 dan 13 tahun yang disyaki terlibat dalam empat kes pecah rumah sekitar Taman Perumahan Aquarius, dekat sini, berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata dua beradik itu dan rakan mereka berumur 14 tahun ditahan di rumah masing-masing Jumaat lalu.
"Remaja yang berusia 14 tahun dan adik perempuannnya, 13, yang tidak bersekolah itu ditahan bersama pelajar lelaki Tingkatan Dua yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu dipercayai mula aktif dalam kegiatan pecah rumah sejak November lalu," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Katanya hasil siasatan, beberapa barangan curi ditemui semula antaranya televisyen 32 inci, kamera dan kamera video, peralatan komputer dan pakaian bernilai RM20,000 yang disembunyikan dalam semak berhampiran rumah dua beradik itu.
Katanya kumpulan remaja itu dipercayai memasuki rumah mangsa melalui bumbung bilik mandi atau tandas sebelum mengumpil pintu belakang dari dalam rumah untuk mengangkut keluar barang curi ketika penghuni tiada di rumah.
Sementara itu, Ahmad Mazlan memberitahu dalam 'Ops Lejang' yang diadakan semalam, polis menahan dua pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di sini yang disyaki terlibat dalam kes kecurian motosikal di daerah itu.
"Hasil siasatan terhadap dua remaja itu, hampir semua komponen motosikal jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang di kawasan itu sejak Disember tahun lalu berjaya ditemui semula," katanya.
No comments:
Post a Comment