Tuesday, January 18, 2011

Saya Sedia Lakukan Apa Saja Demi Kemenangan BN - Ahmad Said

Bersatu Hati...UMNO Tetap Utuh dan Mampu Menewaskan Pembangkang Dalam Pilihanraya Umum nanti.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata satu rombakan kecil akan dilakukan dalam Badan Perhubungan Umno Terengganu bagi mengukuhkan lagi jentera parti negeri.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata perkara itu telah dimaklumkan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan hari Isnin.

"Saya akan maklumkan perubahan tersebut pada mesyuarat Badan Perhubungan negeri yang pertama nanti, yang mungkin akan diadakan dalam bulan ini juga," katanya kepada pemberita di sebuah hotel di Putrajaya petang semalam.

Beliau sebelum itu menerima penyerahan tugas selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memegang jawatan tersebut sejak April 2009.

Ahmad dilantik semula memegang jawatan itu dalam satu rombakan pucuk pimpinan parti di beberapa buah negeri yang diumum Najib selaku Persiden Umno pada 27 Dis lepas.

Ahmad juga berikrar untuk memastikan Umno terus kukuh di Terengganu dalam usaha merampas semula beberapa kerusi, terutama kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dipegang pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Walaupun ada pepatah mengatakan bahawa 'indah khabar dari rupa' tetapi apa yang berlaku di Terengganu adalah 'indah rupa dari khabar'.

"Maknanya Umno Terengganu taklah seburuk yang digambarkan oleh orang dan saya bersedia melakukan apa sahaja demi kemenangan Barisan Nasional," katanya.

Mengulas mengenai kehendak Perdana Menteri bahawa calon yang menang sahaja layak diletakkan sebagai wakil BN, beliau berkata, ia memang proses pemilihan biasa semasa pilihan raya.

''Kita memang pilih calon terbaik di antara yang terbaik selepas mendapat pandangan daripada semua pihak kerana parti pemerintah mahu calon yang boleh menang sahaja bertanding," katanya.


Sementara itu, Hishammuddin berharap segala permasalahan yang telah dapat diselesaikan menjadi titik tolak kepada kejayaan UMNO di Terengganu selepas jawatan pengerusi diserahkan semula kepada anak tempatan.

''Saya memegang jawatan tersebut hanya sementara dan saya harap tidak ada sesiapa pun meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan parti, saya yakin UMNO akan terus berada di hati rakyat dan diterima baik pada masa-masa akan datang," katanya.

Hishammuddin berkata perbincangan peringkat asas mengenai perkara yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) Umno Terengganu kini hampir selesai.

Beliau juga berharap segala perancangan yang dibuat sebelum ini diteruskan dan anggota parti terus memantapkan parti dalam persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

"Saya mahu setiap ahli akan memikul tanggungjawab ini secara bersama dan sekiranya kita terus meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri atau puak masing-masing segala permasalahan akan dapat diselesaikan," katanya.

No comments:

Post a Comment