Sunday, January 2, 2011

Durian Runtuh Buat 6 Wira Piala AFF dari Terengganu

Pemain skuad bola sepak negara dijanjikan hadiah lumayan selepas memenangi Piala Suzuki AFF 2010, Rabu lalu.

Enam anak Terengganu yang membantu skuad kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 Rabu lalu bakal memperoleh habuan lumayan daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengumumkan perkara itu berkata, setiap daripada pemain itu akan menerima hadiah berupa sebidang tanah selain wang tunai sebanyak RM5,000.

Menurutnya, pemberian itu merupakan tanda penghargaan daripada kerajaan negeri di atas kesungguhan anak-anak kelahiran Terengganu yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Katanya, pemain-pemain yang akan menerima hadiah tersebut ialah Mohd. Ashari Shamsuddin dan Mohd. Sharbinee Alawee yang kini mewakili skuad Terengganu serta Norshahrul Idlan Talaha dari skuad Kelantan.

Tiga lagi pemain lain ialah dari skuad Harimau Muda A iaitu Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Faizal Muhammad dan Izzaq Faris Ramlan.

“Saya cukup terharu dan bangga dengan kejayaan kita menjuarai Piala Suzuki selepas menanti selama 14 tahun. Kita masih mampu menjaringkan gol sekali pun beraksi di hadapan ribuan penyokong Indonesia dan ia adalah satu kejayaan penuh bersejarah.

“Apa yang pasti, kejayaan ini turut melibatkan enam anak Terengganu dan kita (kerajaan negeri) telah bersetuju untuk memberi hadiah berupa sebidang tanah untuk tapak rumah dan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada mereka,” katanya ketika pada sidang media sekembalinyta dari bercuti di Lapangan Terbang Sultan Mahmud semalam.

Menurut Ahmad Said lagi, pemberian sebidang tanah itu akan ditentukan mengikut daerah masing-masing dan majlis penyerahannya akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kalau pemain itu berasal dari Kuala Terengganu, maka kita akan carikan sebidang tanah di Kuala Terengganu. Begitu juga kalau dia berasal dari Dungun ataupun dari daerah-daerah lain.

“Kita lakukan semua ini kerana mahu menghargai jasa mereka pada ketika Terengganu kini merupakan antara kuasa utama sukan di Malaysia,” jelasnya lagi.

Rabu lalu, skuad kebangsaan yang dikemudi jurulatih K. Rajagobal mengakhiri kemarau 14 tahun dengan menjuarai juara Piala Suzuki 2010 selepas menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir dengan agregat 4-2.

Katanya, imbuhan yang diberikan diharap menjadi suntikan semangat kepada bakat muda negeri ini untuk terus memberikan persembahan yang terbaik, seterusnya mewakili negara pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mengenal pasti lot tanah yang akan diberikan kerana pembahagian akan dibuat mengikut daerah tempat tinggal dan mengikut kesesuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat, berkata pengumuman imbuhan Menteri Besar itu membuktikan kerajaan negeri menghargai pemain yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Walaupun hanya dua pemain menabur bakti bersama pasukan negeri dalam Liga Super, perkara itu tidak menjadi isu kerana mereka adalah anak kelahiran Terengganu, cuma terikat dengan pasukan masing-masing iaitu Kelantan dan Harimau Muda A.

No comments:

Post a Comment