Wednesday, January 12, 2011

Empat Balai Polis Dari Terengganu Terima Anugerah

Empat balai polis di Terengganu memenangi anugerah Liga Balai Polis peringkat kebangsaan setelah cemerlang dalam penurunan kadar jenayah dan hubungan dengan masyarakat setempat.

Balai berkenaan adalah Balai Polis Chendering, Balai Polis Chukai, Balai Polis Cabang Tiga dan Balai Polis Manir.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata kemenangan itu seharusnya menjadi contoh kepada balai-balai lain di negeri ini untuk meningkatkan kecemerlangan.

"Saya terharu dengan kejayaan yang ditunjukkan oleh anggota di balai-balai dalam menjalankan tugas mereka. Kejayaan ini juga sebagai asas kejayaan untuk memulakan tahun baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 294 anggota polis Terengganu serta 175 anggota balai yang memenangi anugerah Liga Balai Polis di Kuala Terengganu, semalam.

Jamshah berkata anugerah Liga Balai Polis yang dinilai oleh Bahagian Lembaga Penilaian Bukit Aman, bukan sahaja daripada segi kejayaan penurunan kadar jenayah di kawasan mereka, tetapi melalui temubual dengan masyarakat setempat.

"Itu satu penilaian yang bermakna. Ini kerana kalau kita sendiri yang cakap kita bagus, itu tidak bermakna, tetapi kalau orang luar sendiri yang cakap kita bagus, itu satu kenyataanlah," katanya.

Empat balai polis dari Terengganu itu merupakan antara 15 buah balai polis di seluruh negara yang memenangi kelima-lima kategori yang dipertandingkan itu.

No comments:

Post a Comment