Wednesday, January 12, 2011

Ganjaran Untuk Pelumba Malaysia Yang Menang Setiap Peringkat LTdL

Ganjaran wang tunai akan diberikan kepada mana-mana pelumba Malaysia yang berjaya meraih tempat pertama setiap peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), kata Ketua Pegawai Eksekutif LTdL Mohamed Salleh.

Beliau berkata ganjaran wang tunai tersebut adalah sumbangan peribadi beliau sendiri sebagai motivasi kepada pelumba Malaysia untuk meningkatkan prestasi mereka dan menaikkan nama negara dalam perlumbaan berprestij di Asia itu.

"Ini adalah janji saya kepada setiap pelumba Malaysia. Setiap pelumba Malaysia yang memenangi mana-mana peringkat dalam LTdL akan diberikan ganjaran tunai berjumlah RM1,500.

"Seperti ganjaran (Tabung Aku Janji) yang diberikan kepada pasukan bola sepak kebangsaan semasa menyertai Piala AFF Suzuki baru-baru ini, saya hendak ambil pendekatan yang serupa," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

"Kalau ada pihak atau individu yang mahu menyumbang sama, saya mengalu-alukannya," kata Mohamed.

Terdahulu beliau menerima penajaan daripada Nestle Products Sdn Bhd berjumlah RM250,00 di perkarangan ibu pejabat LTdL yang terletak di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Mengenai penajaan bagi edisi LTdL kali ini, Mohamed berkata pihaknya kini memperolehi penajaan wang tunai dan barangan berjumlah kira-kira RM6 juta.

Mohamed berkata untuk perlumbaan kali ini, 23 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka.

"Walaupun setakat ini tiada pasukan Pro-Tour yang menyertai LTdL kali ini, kita mempunyai sembilan pasukan profesional benua, 12 pasukan benua dan dua pasukan kebangsaan," katanya.

Beliau berkata pada perlumbaan kali ini, selain pasukan kebangsaan Malaysia, peminat-peminat perlumbaan berbasikal jelajah juga akan menyaksikan dua pasukan benua Malaysia turut mengambil bahagian iaitu Terengganu Pro Asia Cycling Team (TCT) dan Le Tua Cycling Team (L2A).

"Ada juga pelumba kita yang berlumba dengan pasukan benua, Mohd Adiq Husainie Othman (gambar kanan) misalnya yang berlumba dengan pasukan Drapac-Porsche, yang boleh menjadi tarikan pada perlumbaan kali ini," katanya.

LTdL 2011 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah hampir RM1 juta dijadualkan bermula pada 23 Januari hingga 1 Februari meliputi 10 peringkat membabit jarak keseluruhan sejauh 1,315.4 kilometer.

Ia akan bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment