Thursday, January 27, 2011

Empat Beradik Kena Terajang Gara-Gara Silap Beli Rokok

Empat beradik yang melarikan diri setelah mendakwa tidak tahan dengan perangai bapa mereka semasa ditemui di IPD Setiu, Setiu, semalam.

Hanya kerana si kakak tersilap membeli rokok bapanya, empat beradik menjadi mangsa terajang lelaki tidak bertanggungjawab itu, sebelum dihalau dari rumah dan bermalam dalam hujan lebat di hutan berhampiran Guntung di Permaisuri, semalam.

Empat beradik berkenaan termasuk tiga perempuan berusia 8, 10 dan 14 tahun dan seorang adik lelaki berusia tujuh tahun dipercayai menjadi mangsa dera bapa sendiri termasuk beberapa kes sebelum ini, sebelum dihalau dari rumah kira-kira jam 1 pagi akibat kesilapan kecil itu.

Lebih menyedihkan, sifat kejam bapa kanak-kanak terbabit bukan kali pertama berlaku kepada mereka, malah sudah beberapa kali diterajang, disepak dan dihentak dengan hulu parang dan dicucuh dengan puntung rokok. Kesan kecederaan itu dikenal pasti apabila mereka dibawa polis ke Hospital Setiu untuk rawatan semalam, selepas mereka ditemui orang awam dalam keadaan menyedihkan dan kesejukan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi memberitahu satu laporan polis diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan semua kanak-kanak berkenaan kini ditempatkan di Hospital Setiu.

Katanya, laporan dibuat orang ramai yang terserempak dengan kumpulan kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak bermaya, sebelum mereka menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

"Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dimaklumkan dan membawa mangsa ke hospital untuk rawatan, sebelum mereka didapati cedera akibat didera,” katanya.
Sementara itu kira-kira jam 7.30 malam tadi, polis menahan seorang lelaki berusia 58 tahun, iaitu bapa kepada kanak-kanak berkenaan dan perintah reman terhadapnya akan dipohon bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment