Tuesday, January 4, 2011

Indeks Jenayah di Besut Turun 30.5 Peratus

Walaupun kes jenayah tidak pernah berhenti, namun jumlah kes jenayah yang berlaku tahun lalu jauh lebih rendah berbanding 2009 apabila indeks jenayah di daerah Besut berjaya diturunkan sebanyak 30.5 peratus.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, indeks jenayah daerah Besut turun melebihi sasaran ditetapkan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) iaitu 20 peratus, tetapi pencapaian Besut 10.5 peratus melebihi sasaran itu.

Menurutnya, kadar jenayah indeks menyaksikan penurunan sebanyak 167 kes daripada 379 kes pada 2010 berbanding 546 kes dicacatkan pada 2009.

“Justeru, pada minggu ini kami akan mengadakan kenduri kesyukuran dengan menyembelih lembu yang akan diadakan di Surau Peruma-han Polis Gelam Mas sebagaimana janji saya sebelum ini jika jenayah turun sehingga 30 peratus,” katanya.

Kamaruddin berkata demikian kepada pemberita selepas menerima dua pondok bit bernilai RM10,000 seunit sumbangan Majlis Daerah Besut (MDB) yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh di Medan Selera Jertih, kelmarin.

Menurutnya, Balai Polis Jerteh menjadi penyumbang utama penurunan jenayah indeks di daerah ini apabila balai berkenaan berjaya menurunkan sebanyak 29.8 peratus, iaitu sebanyak 65 kes daripada 218 kes pada 2009 kepada 153 pada 2010.

“Jumlah kes yang diselesaikan pada peringkat daerah tahun lalu juga memberangsangkan iaitu sebanyak 56 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, Kamaruddin berkata, masalah sosial dan penagihan dadah masih menghantui pasukannya yang memerlukan usaha lebih gigih bagi mengatasinya.

Katanya, tahun ini beliau mahu meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi dan merancakkan program 'community policing' melalui tiga strategi yang dilancarkan iaitu 1 Sekolah 1 Polis, 1 Masjid 1 Polis dan 1 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) 1 Polis.

Sementara itu, dua pondok polis bit yang dipanggil Pondok Komuniti akan ditempatkan di dua lokasi berasingan di bandar Jerteh. Salah satunya berhampiran Maybank Jerteh dan sebuah lagi berhampiran Pasaraya Econjaya.

“Anggota polis akan berada di pondok itu pada masa tertentu dan pondok itu akan mewujudkan rasa selamat orang ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment