Pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dilihat seolah-olah memberikan peluang cerah kepada Pas untuk kembali menakluki negeri ini.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib berkata, pihaknya mengalu-alukan rombakan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri itu dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan.
“Mungkin mereka mahu beri peluang lebih kepada Pas untuk kembali memerintah negeri ini kerana beliau (Ahmad Said) akan kembali berlawan dengan saya.
“Pelantikan dan gandingan Menteri Besar sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan timbalannya, Yahya Khatib sedikit pun tidak menggugat kedudukan Pas di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Pas tidak berasa gusar malah bertambah yakin akan merebut kembali kuasa dan menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Terdahulu, jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu dipegang Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan kini telah diambil alih Menteri Besar sebagai pengerusi manakala timbalannya, Yahya Khatib Mohamad.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Datuk Seri Ahmad Said akan kembali menerajui UMNO Terengganu berkuat kuasa 1 Januari lalu.
No comments:
Post a Comment