Mustahil segala masalah dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan atau dua bulan, tambahan pula apabila persatuan bola sepak negeri terpaksa bergantung harap dengan bantuan pihak lain!
Itu pendapat bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Jamal Nasir Rasdi mengenai tindakan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) yang mengeluarkan arahan mengadakan perlawanan pada sebelah petang selepas mendapati lampu limpah stadium termasuk di Sabah, Perak, Johor FC, Kelantan, Terengganu dan T-Team tidak memenuhi piawaian.
Jamal Nasir berkata, arahan itu yang dikeluarkan tidak sampai tiga minggu sebelum sepak mula musim baru Liga Malaysia 2011, tidak kena pada masanya ketika momentum keghairahan peminat terhadap bola sepak sedang bersemarak ekoran kejayaan Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, 29 Disember lalu.
Sebaliknya, JKPT sepatutnya berbincang terlebih dulu dengan ahli gabungan dan pengurusan stadium, bukannya mengeluarkan arahan dalam tempoh singkat hingga boleh membunuh minat penyokong untuk ke stadium dan merugikan bola sepak negara.
Pengerusi JKPT, Datuk Hamidin Mohamad Amin Rabu lalu, berkata enam pasukan Liga Super dan lapan pasukan Liga Perdana mungkin terpaksa beraksi di sebelah petang jika lampu limpah di dalam stadium mereka gagal memenuhi piawaian minimum 800 lux untuk perlawanan sebelah malam.
Jamal Nasir yang juga bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berkata, permainan pada sebelah petang akan menjejas mutu permainan.
Bermain sebelah siang dengan malam banyak bezanya. Saya yakin tidak ramai yang akan dapat datang menyokong pasukan jika diadakan pada sebelah petang.
JKPT juga harus sedar stadium bukan milik persatuan negeri kerana ia diuruskan perbadanan stadium atau pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi sukar untuk persatuan negeri bertindak bersendirian.
Sepatutnya JKPT duduk berbincang dengan semua pihak dan mencari jalan penyelesaian terbaik, bukannya terus mengarahkan stadium yang tidak menepati piawaian pencahayaan 800 lux mengadakan perlawanan pada sebelah petang, katanya.
No comments:
Post a Comment