Sunday, January 16, 2011

Musim Tengkujuh Punca Hawar Merebak

Musim tengkujuh dikenal pasti sebagai faktor penyebab wabak hawar yang menyerang haiwan ternakan di negeri ini merebak dengan mudah.

Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Terengganu, Dr. Ahmad Shafri Hassan berkata, ini kerana cuaca pada musim ini sentiasa lembap dan berair sehingga memudahkan penyebaran wabak berkenaan.

Sehubungan itu katanya, penternak terutama yang menternak ayam kampung, diminta supaya tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran tanpa dikurung kerana ini akan menyebabkan wabak itu lebih mudah tersebar.

Jelas beliau, langkah itu adalah yang terbaik dalam usaha mengurangkan risiko haiwan ternakan mati akibat wabak tersebut.

"Pada masa yang sama, Jabatan Veterinar negeri juga menyediakan vaksin yang diberi secara percuma kepada para penternak sebagai langkah pencegahan.

"Vaksin-vaksin ini boleh didapati di pejabat veterinar daerah dalam skala yang kecil sahaja," katanya ketika di Kuala Terengganu, semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 1,000 ekor ayam yang diternak di beberapa buah kampung sekitar daerah ini mati akibat diserang wabak hawar.

Keadaan itu mengakibatkan sesetengah penduduk mengalami kerugian hingga mencecah RM100,000.

Wabak yang mula dikesan seminggu lalu itu dipercayai menyerang beberapa buah kampung termasuk Kampung Pak Ba, Kampung Che Long, Kampung Pasir Panjang, Kampung Panji dan Kampung Wakaf Beruas.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Shafri memberitahu, penternak seharusnya memberi vaksin ketika di peringkat anak ayam lagi kerana prosesnya lebih mudah.

"Proses pemberian vaksin ini juga sepatutnya dilakukan secara berperingkat-peringkat dan lebih bersistematik bagi mengelakkan berulangnya jangkitan wabak hawar yang pastinya akan merugikan mereka," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment