Usaha membendung penularan fahaman pluralisme dan Jaringan Islam Liberal (JIL) akan dilakukan secara berterusan bagi mengelak daripada terus berkembang dengan pesat dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam di negeri ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya percaya, penularan fahaman baru ini belum meresap secara mendalam namun ia perlu diberi tumpuan bagi mengelak kemasukan secara perlahan-lahan.
“Buat masa ini kita belum nampak kesan pe-ngaruh fahaman secara mendadak akan tetapi kita percaya ia akan meresap masuk secara halus dalam kalangan masyarakat khususnya golongan terpelajar.
“JHEAT akan meneruskan usaha secara berteru-san membendung perkara ini. Pada hari ini kita akan melaksanakan satu program yang memberikan penerangan kepada pelajar mengenai isu ini di Universiti Malaysia Terengganu (UMT),” katanya.
Menurutnya, isu ini harus diberikan perhatian sebelum ia menjadi semakin parah dan tumpuan utama diberikan kepada golongan terpelajar memandangkan mereka lebih berisiko terdedah kepada isu semasa dan teknologi maklumat yang tiada batasan.
“Golongan muda dinasihati mengkaji terlebih dahulu sebelum menerima sebarang ajaran baru. Tanya dahulu kepada golongan agama sama ada ia boleh diterima atau tidak.
“Kita perlu lebih berhati-hati sebelum menerima sesuatu pendapat atau ajaran baru. Jika ia ajaran yang benar, ia akan dilakukan secara terang-terangan di hadapan khalayak ramai, bukannya secara tertutup,” katanya.
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi keempat menterjemahkan perkataan pluralisme sebagai keadaan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, kebudayaan, kepercayaan dan agama serta kepelbagaian budaya masyarakat antarabangsa yang perlu dihormati.
Manakala, perkataan liberal pula diklasifikasikan bersifat condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik, berpandangan bebas, berpandangan terbuka iaitu tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran.
Bagaimanapun, belakangan ini umat Islam perlu lebih berhati-hati dan berwaspada kerana wujudnya usaha golongan tertentu yang cuba menanam aliran fahaman pluralisme dan Jaringan Islam Liberal (JIL) yang jelas bercanggah dengan agama Islam asal seperti yang termaktub dalam kitab suci al-Quran.
Jika fahaman Pluralisme dan JIL dibiarkan berleluasa dalam kalangan masyarakat ia boleh menjejaskan akidah seseorang sehingga membawa kepada kesesatan dan kemudaratan.
Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz (gambar kanan) berkata, dalam hal ini, fahaman berkenaan akan menolak syariat Islam sedikit demi sedikit yang akhirnya membawa kepada kemusnahan Islam itu sendiri.
“Apa yang kita faham, fahaman ini bermula di negara luar. Mereka mahu wujudkan dari segi kesamarataan bagi setiap agama yang dianuti. Dalam masa yang sama mereka juga mahu menolak sedikit demi sedikit syariat Islam.
“Fahaman baru ini sebenarnya mahu memisahkan Islam yang sebenar dengan kesucian agama Islam itu sendiri. Ini adalah satu kesilapan besar kerana suatu hari nanti masyarakat mungkin tidak lagi nampak kesucian agama Islam,” katanya.
Menurutnya, sebagai langkah membendung perkara tersebut, pemimpin masyarakat perlu memberikan fahaman yang jelas dan tidak mengambil mudah mengenai isu itu.
“Kita tidak boleh ambil mudah mengenai perkara ini. Misalnya satu kes dahulu yang mana membenarkan sembahyang dengan menggunakan niat sahaja.
“Jika ia merebak pastinya membawa kepada perpecahan dan permusuhan dalam kalangan umat Islam. Ia mampu mencetuskan api kemarahan dan permusuhan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau menegaskan, mana-mana individu yang berhadapan dengan fahaman ini diminta mempertimbangkan secara mendalam serta merujuk kepada mereka yang lebih arif dalam bidang agama.
“Jangan kita me-ngikut sesuatu ajaran tanpa usul periksa, selidik dahulu supaya kita berada pada landasan yang betul.
“Perkara ini bukan perkara kecil kerana ia boleh membawa kepada kesesa-tan dan keruntuhan akidah seseorang,” katanya.
No comments:
Post a Comment