Tuesday, January 18, 2011

JPS Tingkat Operasi Kesan Pengendali Bot Ingkar

Tindakan penguatkuasaan yang sering dilakukan oleh Jabatan Laut Semenanjung (JLS) terhadap bot dan feri bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan pengusaha bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan selamat.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kerajaan mengambil langkah serius berikutan beberapa kejadian kemalangan yang berlaku di laut, walaupun kes itu tidak begitu serius kerana jumlah kematiannya tidak tinggi jika dibandingkan dengan kemalangan di jalan raya.

Katanya, JLS amat menitikberatkan masalah kelengkapan peralatan keselamatan, pengendali bot atau feri yang bertauliah bagi memastikan penumpang khususnya yang melibatkan pelancong asing untuk ke sesuatu destinasi itu dalam keadaan selamat.

"JLS juga akan meningkatkan langkah penguatkuasaan, selain mengadakan kempen-kempen keselamatan di laut di seluruh negara.

"Kita akan tingkatkan kempen ini supaya wujud kesedaran di kalangan operator, bagi memastikan feri dan bot yang digunakan sentiasa dalam keadaan cukup peralatan keselamatan jika berlaku kecemasan," katanya selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Laut Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Abdul Rahim berkata, ketika ini terdapat 14 lokasi perkhidmatan feri di seluruh negara iaitu tiga di Wilayah Utara, Wilayah Tengah (satu), Wilayah Selatan (empat), Wilayah Timur (dua) dan Wilayah Labuan (empat).

Katanya, ketika ini JLS mengawasi 40 buah jeti dan terminal penumpang meliputi 13 terminal penumpang di Wilayah Utara, Wilayah Tengah (lima buah), Wilayah Selatan dan Sarawak masing-masing empat buah, Wilayah Timur (11 buah) dan tiga dermaga di Wilayah Labuan.

Beliau berkata, terdapat juga jeti-jeti diuruskan pihak swasta di sepanjang pantai negara ini dan JLS berhadapan dengan masalah ini kerana tidak mampu menempatkan pegawai dan hanya melakukan operasi sekali-sekala sahaja.

"Ini disebabkan pantai kita yang amat panjang dan jeti yang dikendalikan oleh swasta berada di mana-mana. Jadi untuk mengadakan pemeriksaan berkala itu, amat sukar kecuali jeti dimiliki Jabatan Laut dan agensi-agensi tertentu," katanya.

Bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan undang-undang di jeti dan dermaga berkenaan, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan mengambil inisiatif menambah bilangan anggota di semua jeti kendalian JLS terutama pada musim cuti sekolah dan cuti umum bagi tujuan penguatkuasaan.

Abdul Rahim berkata, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, kompaun terhadap pengendali bot dan feri menurun apabila hanya 166 kompuan dikeluarkan pada tahun lepas berbanding 244 kompaun pada 2009 dan 211 kompuan pada tahun sebelumnya.

"Ini menunjukkan kesan penguatkuasaan undang-undang di jeti seluruh negara memberi kesedaran terhadap pengusaha feri dan bot yang ingkar, sekaligus mengurangkan kemalangan membabitkan penumpang," katanya.

No comments:

Post a Comment