Monday, January 17, 2011

Jangan Lagi Ada Kejadian Atap Bocor di Terengganu - Ahmad Said

Ahmad Said menerima cenderamata dariapada Tengku Putera pada majlis makan malam kelmarin. - Gambar UKOM.

Keadaan atap bocor yang dikaitkan dengan kedaifan kehidupan keluarga tidak harus wujud di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, adalah menjadi impiannya bahawa rumah yang menjadi asas awal kesejahteraan setiap keluarga tidak lagi dalam keadaan sedemikian.

Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan lebih besar iaitu RM3 juta kepada setiap wakil rakyat dalam menyediakan pelbagai kemudahan bagi rakyat pada tahun ini.
''Sehubungan itu, saya juga tidak mahu lagi melihat masih ada masalah atap rumah yang bocor dan tidak berganti," ujarnya.

Beliau berucap pada majlis makan malam bersama ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang, malam kelmarin.

Turut hadir, Ketua UMNO bahagian, Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri.

Bantuan atap merupakan langkah awal yang digerakkan oleh Ahmad sejurus beliau mengambil alih teraju kepimpinan negeri yang dianggap sebagai cerminan usaha merakyatkan pembangunan dan pentadbiran.

Pendekatan asas itu membolehkan kehidupan rakyat diselami dan memastikan tiada yang tercicir daripada mendapat kemudahan dan bantuan.

Dalam ucapannya juga, beliau berharap semua ketua jabatan agar saling
Katanya, hubungan itu penting bagi merealisasikan hasrat dan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' serta 'Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan'.

Menurut beliau, ia sebagai kesinambungan usaha memastikan rakyat dapat menikmati faedah maksimum dalam segala bidang yang digerakkan oleh kerajaan serta kepimpinan.

Katanya, segala usaha ke arah kebaikan dan peningkatan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa cuba diburuk-burukkan ekoran permainan politik.

''Ketika kita terus menabur baja, pembangkang menyiram racun dan racun lebih mudah mengalahkan baja," ujarnya.

Namun, beliau yakin rakyat dapat membezakan antara racun dan baja, lalu tidak memilih untuk kembali kepada keadaan yang pernah dilalui semasa pembangkang menguasai kerajaan.

Mengenai pembangunan di daerah ini, beliau berkata, Hulu Terengganu akan dimajukan setanding dengan daerah lain dan akan kembali ke era kegemilangan dalam sejarah lampau.

"Hulu Terengganu adalah satu daerah yang hebat kerana di sinilah bermulanya Kesultanan Melayu Terengganu dan tempat lahirnya ramai pejuang-pejuang Melayu lama yang terkenal.

''Saya berjanji akan bangkitkan semula Daerah Hulu Terengganu sebagai daerah yang disegani selepas pembangunan Kawasan Bebas Cukai di Tasik Kenyir, " katanya.

No comments:

Post a Comment