Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijangka hadir pada perasmian karnival Pengajian Tinggi Negara `Jom Masuk U’ 2011 yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu petang ini.
Karnival itu dijangka dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin dan akan berlangsung dua hari bermula hari ini.
BAHAGIAN Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi menyasarkan 300,000 pengunjung mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) edisi ketujuh tahun ini.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataannya, berkata , 'Jom Masuk U' bertujuan mempromosi dan menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi.
Katanya, maklumat tambahan berkaitan turut disediakan termasuk akreditasi dan pembiayaan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, pelajar lepasan asasi, diploma, sijil dan diploma kemahiran.
“Tahun ini, 11 zon dikenal pasti menjadi lokasi karnival dengan Pusat Perdagangan Terengganu menjadi zon 1 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini (14 Januari ini).
“Karnival diteruskan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka pada 22 dan 23 Januari bagi zon 2, manakala Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (29 dan 30 Januari) untuk zon 3.
“Program di Kelantan berlangsung di Pusat Perdagangan Kelantan dan Stadium Sultan Muhammed ke-IV, Kota Bharu, pada 12 dan 13 Februari) zon 4, Dewan 2020, Perlis (19 dan 20 Februari) zon 5,” kata kenyataan yang diterbitkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kementerian menjelaskan, program sama juga akan diadakan di Suria Sabah, Kota Kinabalu, (26 dan 27 Februari) zon 6, Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang (5 dan 6 Mac) zon 7 dan di Persada Johor Bahru, pada (12 dan 13 Mac) zon 8.
Lokasi pilihan di Sarawak pula akan diadakan di Pusat Pameran Permata, Kuching, (19 dan 20 Mac) zon 9, Dataran Majlis Bandaraya Ipoh, Perak (26 dan 27 Mac) zon 10 dan Pusat Pameran Antarabangsa Mines, Seri Kembangan, Selangor (2 dan 3 April) zon 11.
Berfungsi sebagai penyebar maklumat secara berpusat, Kementerian menetapkan kumpulan sasar mendapat garis panduan lengkap mengenai program pengajian yang ditawarkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2011/2012.
Selain itu, karnival turut memupuk kesedaran dalam kalangan pemohon dan masyarakat mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke IPTA secara dalam talian.
Maklumat pelaksanaan dasar pemilihan kemasukan menggunapakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus kokurikulum turut disampaikan.
Selain lulusan sekolah, ibu bapa, guru bimbingan dan kaunseling, pendidik dan masyarakat boleh memanfaat ilmu serta maklumat yang disampaikan.
Program disertai 20 IPTA, 100 IPT swasta terpilih, agensi di bawah kementerian dan Kementerian Pelajaran, yayasan negeri, agensi pembiayaan pendidikan termasuk Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan MARA.
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Bahagian Pengurusan Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mohd Nizam Pavel, berkata UTeM berharap penganjuran karnival kali ini berjalan lancar dan mencapai objektifnya.
Katanya, karnival itu memberi peluang pengunjung mengemukakan pertanyaan kepada wakil universiti dan kolej bagi memastikan masing-masing membuat pilihan tepat program pengajian yang bakal diikuti.
No comments:
Post a Comment