Saturday, January 1, 2011

Keadaan Banjir Di Kampung Teladas, Kemaman Pulih

Keadaan banjir di Kampung Teladas Kemaman kembali pulih dengan kesemua 63 mangsa daripada 22 keluarga di pusat pemindahan di kampung itu dibenarkan pulang semalam.

Pegawai Kebajikan Daerah Kemaman Ghazali Awang berkata kumpulan terakhir seramai 10 orang mangsa daripada tiga keluarga dibenarkan pulang pukul 2 petang ini.

Kesemua mangsa banjir itu dipindahkan ke pusat pemindahan itu setelah rumah mereka dinaiki air petang semalam.

Dalam pada itu, Ghazali berkata jalan Cukai ke Air Putih telah dinaiki air petang semalam, namun jalan tersebut masih boleh dilalui kenderaan setakat ini.

Beliau berkata paras air Sungai Teladas yang melimpah petang kelmarin juga semakin surut.

Gelombang kedua banjir musim tengkujuh yang melanda daerah Kemaman menyebabkan 63 mangsa daripada 22 keluarga dari Kampung Teladas, Air Putih itu dipindahkan ke pusat pemindahan kelmarin.

Mangsa-mangsa berkenaan berpindah ke balai raya Kampung Teladas kira-kira 7 petang setelah air melimpahi kawasan rumah mereka.

Jambatan Kampung Teladas yang menghubungkan Kampung Air Putih terputus hubungan apabila ditenggelami air berikutan hujan di kawasan pedalaman.

Bagaimanapun, beliau berkata perhubungan antara kedua-dua buah kampung itu kembali pulih berikutan air telah surut dan berada kira-kira tiga kaki di bawah jambatan pagi semalam.

Ghazali menasihatkan terutamanya penduduk-penduduk yang tinggal di tebing Sungai Air Putih supaya berwaspada memandangkan keadaan cuaca mendung dan hujan yang berlarutan.

Beliau berkata banjir gelombang pertama di daerah Kemaman berlaku di kawasan Kijal dan Kemasih awal bulan ini melibatkan lebih 1,000 mangsa berpindah.

No comments:

Post a Comment