Peserta peringkat akhir Program Imam Remaja bergambar bersama Idris Jusoh (tujuh dari kiri) dan Abdulah Md. Zin (enam dari kanan) selepas majlis penyampaian hadiah di Besut Terengganu, semalam.
Program Imam Remaja anjuran Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh yang berakhir malam tadi mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan muda.
Program itu turut mendapat reaksi positif daripada ibu bapa yang cenderung untuk melihat dan mengasah bakat anak-anak mereka dalam bidang agama bagi melahirkan insan bersahsiah tinggi dan berkeperibadian unggul.
Peringkat akhir program itu berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) di Gong Kemuntong dekat sini yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Daerah (MDB) Besut, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) daerah Besut dan Pejabat Agama Daerah Besut.
Seramai 10 orang terpilih menyertai peringkat akhir program hasil cetusan idea Idris yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara). Turut hadir Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Abdullah Md. Zin dan ADUN Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar.
Malam tadi, ujian ditumpukan kepada bidang hafazan (qiraat/taranum) dan ceramah spontan bagi mengenal pasti peserta yang benar-benar mantap untuk dinobatkan sebagai pemenangnya.
Sebelum ini, seramai 42 peserta yang mewakili masjid dalam DUN Jerteh yang berumur antara 15 hingga 25 tahun menyertai peringkat saringan yang diadakan selama dua hari di Masjid Hadhari Bandar Jerteh minggu lalu.
Pengerusi Majlis Belia Daerah Besut, Azizul Jasmi Mohamad berkata, sebelum ini pihaknya menyasarkan untuk mengambil hanya 32 peserta bagi menyertai program tersebut.
"Namun disebabkan sambutan menggalakkan kita putuskan untuk menerima sehingga 42 peserta sebelum mereka diuji dalam bidang solat berjemaah, bacaan al-Quran, solat jenazah, khutbah, hafazan tahlil, doa serta azan.
Pada peringkat akhir Program Imam Remaja malam tadi, Muhammad Azam Md. Nor, 22, yang mewakili Masjid Alor Selising dekat sini muncul juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 yang disampaikan Idris.
Naib johan dengan hadiah wang tunai RM1,600 dimenangi Abdul Rahman Bakar, 18, yang mewakili Masjid Pak Wong manakala tempat ketiga dengan hadiah RM1,200 dimenangi Mohd. Nazaruddin Hussin yang mewakili Masjid Lapan Kotak.
Sementara itu Abdullah berkata, pihaknya bersetuju untuk menganjurkan program tersebut di peringkat Parlimen Besut dan meminta supaya saringan peringkat kawasan DUN diadakan terlebih dahulu.
"Program seumpama ini wajar dijadikan program yang lebih besar untuk menarik penyertaan golongan belia dan melahirkan golongan muda yang berkebolehan dan mencintai bidang agama," ujarnya.
No comments:
Post a Comment