Ahmad Said menjawab soalan wartawan mengenai elaun untuk imam dan bilal di masjid kampung pada sidang media semalam.
Kerajaan negeri Terengganu akan menaikkan elaun 2,194 imam dan bilal masjid kampung di seluruh negeri itu, yang melibatkan perbelanjaan lebih RM8.7 juta setahun.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pada masa ini, kadar elaun imam dan bilal tidak selaras serta dibayar mengikut kategori masing-masing, iaitu skim A RM650, skim B RM625 dan skim C RM600 bagi imam, manakala bagi bilal, skim A RM450, skim B RM425 dan skim C RM400.
"Sekarang ini kita buat satu kategori sahaja, iaitu elaun imam RM800 dan bilal RM600," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.
Beliau berkata elaun baru itu akan dibayar mulai Januari tahun ini.
Pada 13 Januari lalu (Rabu), Ahmad Said berkata Kerajaan Terengganu akan mengkaji kemungkinan menaikkan kadar bayaran elaun bagi Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan bilal.
Pejabat Setiausaha Kerajaan akan membuat kertas cadangan untuk dipertimbangkan.
"Pengerusi JKKK sama dengan imam dinaikkan kadar elaun seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tahun lepas, namun pada pengumuman itu, tidak disebut kenaikan elaun Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari JKKK sama juga dengan bilal," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri minggu lalu.
Pada bajet tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan elaun Pengerusi JKKK dan imam antara RM800 dan RM850 mulai tahun ini.
Mengenai pengumuman semalam, Ahmad Said berharap dengan penambahan elaun itu, imam dan bilal akan memberi perkhidmatan terbaik bagi mengimarahkan masjid masing-masing.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi peluang dan ruang bagi meningkatkan syiar Islam seperti membina masjid baru yang lengkap dengan rumah bilal, tempat kelas tambahan, bilik jenazah serta kemudahan lain.
No comments:
Post a Comment