Friday, January 21, 2011

Perhilitan Hantar Anggota Kesan Anjing Liar

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Terengganu menghantar sepasukan enam anggotanya ke kawasan tanah Rancangan Felda Tenang, Hulu Besut bagi mengesan anjing liar yang menyerang ternakan penduduk baru-baru ini.

Pengarahnya Yusoff Shariff berkata, mereka dihantar ke kawasan berkenaan semalam bagi meninjau dan mengetahui perkara sebenar.

Katanya, baru-baru ini Perhilitan telah memasang tiga perangkap bagi menangkap anjing berkenaan yang dikatakan ada antara 20 dan 30 ekor, berkeliaran di kawasan itu, namun ia masih belum berhasil.

"Kita sudah berbincang dengan orang kampung cara untuk memerangkap anjing berkenaan kerana perangkap yang ditahan masih belum mengena," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yusoff berkata, pihaknya tidak berputus asa dan berusaha untuk menambahkan beberapa buah perangkap lagi bagi menangkap anjing terbabit.

Baru-baru ini beberapa ekor lembu penduduk di kawasan berkenaan menjadi korban anjing berkenaan.

No comments:

Post a Comment