Wednesday, January 19, 2011

Kerajaan Lupuskan Hutang Mangsa Banjir

Sebahagian mangsa banjir menerima wang ehsan RM500 seorang pada majlis penyerahan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir di Dewan Sivik Sungai Tong, Setiu kelmarin.

Kabinet bersetuju melupuskan baki bayaran pinjaman mangsa banjir yang membuat pinjaman kecil untuk kegiatan perniagaan dengan agensi kerajaan termasuk TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Skim Pinjaman Belia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata keputusan itu dibuat baru-baru ini kerana kerajaan tidak mahu mangsa banjir mengalami kerosakan harta benda tambah terbeban dengan pembayaran pinjaman. Sambil memberi contoh peniaga membuat pinjaman untuk menjual makanan dan kuih, beliau berkata, jika semua peralatan peniaga rosak kerana banjir, maka kerajaan lupuskan pinjaman itu.

"Ini keputusan dibuat Jemaah Menteri dan kerajaan tidak mahu menambah lagi beban peniaga yang menjadi mangsa banjir. Kalau duit yang dia pinjam untuk beli barang menjalankan perniagaan, tetapi barang rosak kerana banjir, kemudian kita suruh dia bayar balik pinjaman, macam mana dia nak bayar.

"Yang penting mereka disahkan dan didaftarkan oleh pegawai daerah masing-masing sebagai mangsa banjir walaupun tidak berpindah ke pusat pemindahan," katanya selepas menyampaikan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir daerah Setiu di sini, semalam.

Seramai 229 mangsa banjir dari seluruh daerah itu menerima bantuan RM500 setiap keluarga yang menjadi mangsa banjir awal bulan ini.

Mohamad Nazri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam berkata, kerajaan tidak mahu mengambil masa lama untuk menyalurkan bantuan wang ehsan kepada seluruh mangsa banjir termasuk di negeri ini.

Ditanya jumlah bantuan wang ehsan disalurkan kerajaan kepada mangsa banjir baru-baru ini, beliau berkata setakat ini RM30.6 juta sudah diagihkan kepada mangsa banjir di Kedah dan Perlis, manakala di Kelantan dan Terengganu dalam proses agihan.

No comments:

Post a Comment