Wednesday, January 5, 2011

Kerajaan Terengganu Mahu PBT Berdikari

Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Setiu mengangkat sumpah pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Terengganu Tahun 2011-2012 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said semalam memulakan tugas rasmi Tahun 2011 dengan menghadiri majlis pengakuan menerima jawatan Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan negeri Terengganu tahun 2011-2012.

Pada majlis itu dengan tegas Amad Said menyatakan agar PBT mampu berdikari dan kerajaan negeri tidak boleh selama-lamanya ‘membiayai dan menanggung kos perkhidmatan’ PBT di Terengganu.

Dengan kata lain, kerajaan negeri berharap PBT di negeri ini mampu berdikari menyediakan peruntukan kewangan mereka kerana kerajaan negeri tidak berhasrat untuk selamanya membantu agensi itu.

Ini kerana saban tahun kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan peruntukan besar lebih daripada RM300 juta setiap tahun dan wang itu boleh disalurkan untuk tujuan pembangunan jika PBT tidak lagi bergantung kepada kerajaan.

"Kita harap PBT boleh berdikari dan duit sebanyak RM300 juta boleh dibelanjakan untuk projek lain," katanya.

Beliau mengulangi soal pembiayaan ini kepada pemberita selepas majlis pengakuan menerima jawatan Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan negeri Terengganu tahun 2011-2012, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Majlis itu melibatkan seramai 250 ahli PBT daerah Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM366 juta untuk membantu PBT di negeri ini bagi membolehkan perancangan bandar dan daerah dilaksanakan.

Katanya, setakat ini hanya dua PBT iaitu Majlis Daerah Besut dan Majlis Daerah Hulu Terengganu dilihat berpotensi untuk berdikari seperti yang berjaya dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kemaman.

Justeru itu jelasnya, dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan PBT yang lain, kerajaan negeri telah mengarahkan kesemua PBT untuk memohon tanah bagi membolehkan ia dimajukan sekali gus menjana pendapatan kepada mereka.

"Apabila PBT mampu berdikari sendiri, lebih banyak kepentingan rakyat dapat dilaksanakan tanpa perlu bergantung dengan keputusan kerajaan negeri.

"PBT perlu bijak untuk menggunakan peluang yang ada untuk membangunkan daerah mereka. Jika tidak mampu, mereka boleh buat kerjasama dengan pihak swasta," ujarnya.

Kerajaan negeri juga akan mengkaji kemungkinan menaikkan kadar cukai pintu bandar raya ini dalam usaha meningkatkan prasarana dan perkhidmatan kepada warganya.

Menteri Besar berkata, kadar cukai pintu sedia ada dalam zon pentadbirannya tidak pernah dinaikkan sejak 30 tahun lalu walaupun telah dua kali melaksanakan kajian terhadap cadangan itu.

Katanya, jika kenaikan tersebut dapat dilaksanakan, kerajaan negeri yakin dapat mengurangkan beban kerajaan sebanyak RM50 juta setahun untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

"Adalah wajar kerajaan negeri menaikkan cukai pintu seperti yang dilakukan di negeri-negeri lain, namun kita masih perlu memikirkan tentang kepentingan rakyat.

"Jadi buat masa ini, kerajaan terpaksa mengambil langkah dengan mencari sumber lain untuk membolehkan MBKT memperoleh pendapatannya sendiri," katanya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta beberapa Exco Kerajaan Negeri.

No comments:

Post a Comment