Thursday, January 6, 2011

Hujan Lebat Di Pantai Timur Semenanjung Dan Sabah Berlanjutan Sehingga Sabtu

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat Jingga di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu yang dijangka berterusan sehingga lusa Sabtu).

Hujan berterusan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah berdekatan sungai.

Antara kawasan yang terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai manakala di Terengganu pula ialah Besut dan Dungun.

Amaran peringkat kuning iaitu hujan sekejap-sekejap pula dikeluarkan untuk Kuantan, Pahang dan beberapa kawasan lain di Terengganu termasuk Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Kemamam.

Keadaan itu dijangka berterusan sehingga Sabtu dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran tebing sungai.

Keadaan sama juga akan berterusan sehingga malam Jumaat di Kudat, Pitas, Kota Marudu, Ranau, Kota Belud, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan di Sabah.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di perairan Condore Rabu ini dengan kelajuan angin 60km sejam dan ombak setinggi 5.5 meter.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Angin kencang sehingga mencapai kelajuan 50-60km sejam dengan keadaan ombak setinggi 4.5 meter pula dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Reef North, Layang-Layang dan Palawan.

Angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan kelajuan 40-50km sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berterusan sehingga Rabu di perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri), Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat, Pedalaman, Kudat dan Sandakan), Tioman, Bunguran, Reef South dan Sulu dan keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

No comments:

Post a Comment