Apakah pelumba dari pasukan Terengganu Pro Asia Cycling (TSG), khususnya Anuar Manan akan membuat kejutan pada perlumbaan peringkat keempat esok?
Perlumbaan itu meliputi jarak 137.6km, bermula dengan tiga zon pecutan di Seri Iskandar, Batu Gajah dan Simpang Pulai, pendakian dari Pos Slim, Kampung Raja sebelum berakhir di Bukit Berincang, Cameron Highlands.
Semalam, pelumba Jerman Marcell Kittel menerima tentang sengit dari pelumba negara Anuar Manan sebelum memenangi peringkat ketiga perlumbaan Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL) sejauh 144.9 kilometer dari Taiping ke Setiawan.
Kittel dari pasukan Skil Shimano Cycling Team itu bagaimanapun menghalang hajat Anuar dengan kayuhan bertenaga di peringkat akhir saingan sebelum berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa sama iaitu 3 jam 14 minit 18 saat.
Jaguh dua peringkat sebelum ini, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri gagal mengulangi pencapaian cemerlangnya apabila menduduki tempat ketiga.
Bagaimanapun, pelumba Itali berusia 20 tahun itu masih mengekalkan jersi kuning, selaku pelumba terbaik keseluruhan dengan cacatan masa 8'43:44s dan jersi biru, sebagai Raja Pecut, dengan 51 mata selepas tiga peringkat.
"Saya agak kecewa kerana gagal menguasai peringkat ketiga ini tetapi mampu mengekalkan jersi kuning dan jersi biru," kata Guardini.
Dalam pada itu, Anuar agak kecewa dengan perlumbaan semalam kerana hampir menjadi juara satu peringkat tahun ini.
Pelumba dari Kuala Ibai, Terengganu, itu masih menungguli jersi putih dengan muncul pelumba terbaik Asia manakala mengejar Guardini dalam saingan jersi biru, iaitu Raja Pecut, dengan 51 mata.
Beliau percaya rakan sepasukannya dapat membantu beliau mendahului dalam acara pecut dalam tiga zon pecutan sebelum peringkat pendakian di peringkat ketujuh.
"Saya masih mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu peringkat perlumbaan dan semestinya bukan pada perlumbaan esok atau lusa," katanya.
Atas pencapaiannya semalam , Anuar menerima RM1,000 sebagai insentif peribadi dari Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Mohamad Salleh.
Dalam saingan memburu gelaran Raja Bukit, jersi merah bertukar tangan apabila pelumba Iran, Mehdi Sohrabi dari pasukan Tabriz Petrochemical Team, mendahului dengan enam mata, terikat dengan pelumba Koen De Kort dari Skil Shimani Cycling Team.
Kelmarin, pada peringkat kedua, Anuar juga gagal menduduki tempat pertama apabila pelumba muda Itali, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri menguasai perlumbaan peringkat kedua perlumbaan Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL).
Selepas memenangi peringkat pembukaan di Pulau Langkawi kelmarin, Guardini, 20, sekali lagi membuktikan kehandalan dengan mencatatkan masa 2 jam 26 minit dan 26 saat dalam perlumbaan sejauh 145.5 kilometer dari Kangar ke Butterworth.
Menamatkan perlumbaan dalam kelompok besar pelumba, Guardini menampilkan kemahiran memecut pada 200 meter terakhir perlumbaan untuk melintasi garisan penamat.
Bagaimanapun pada perlumbaan tersebut menyaksikan pencapaian Anuar yang berjaya merampas jersi putih dari Sung Baek sebagai juara semasa Asia.
No comments:
Post a Comment