Wednesday, January 26, 2011

Sesetengah Hotel Terengganu Tidak Ambil Berat Soal Kebakaran

Sesetengah hotel di Terengganu dikesan tidak mengambil berat tentang ciri-ciri keselamatan pencegahan kebakaran menyebabkan pengunjungnya berhadapan risiko jika berlaku kejadian tidak diingini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Md Salleh Sarbini antara kelemahan yang dikesan termasuk tidak mempunyai alat memadam kebakaran mencukupi serta halangan di laluan keluar seperti di tangga.

Stastik menunjukkan daripada 116 pelbagai premis yang sepatutnya mendapat Perakuan Bomba (Fire Certificate) di negeri ini hanya 64 premis sahaja yang layak memperolehnya, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu di ibu pejabat jabatan itu di Kuala Terengganu, semalam.

Md Salleh berkata para pemilik premis terlibat dikehendaki menaik taraf ciri-ciri keselamatan mencegah kebakaran di dalam premis mereka, pada suatu tempoh tertentu bergantung kepada ciri keselamatan ditetapkan, sebelum tindakan lanjut dikenakan.

Dalam perkembangan lain, Md Salleh berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu menerima 2,030 panggilan kecemasan sepanjang tahun lepas, meningkat daripada 1,845 panggilan pada 2009.

Daripada jumlah panggilan kecemasan tahun lepas, 1,028 merupakan panggilan kebakaran manakala 995 panggilan untuk kerja-kerja menyelamat dan tujuh lagi merupakan panggilan khidmat khas.

Sejumlah RM130.9 juta nilai harta benda berjaya diselamatkan daripada musnah akibat kebakaran pada tahun lepas, katanya.

1 comment:

  1. Jangan mengabaikan aspek keselamatan kerana keselamatan penginap hotel menjadi taruhan.

    ReplyDelete