Monday, January 31, 2011

MCPF Rancang Konsep Baru Bagi Cegah Jenayah

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) sedang merancang satu konsep baru dalam usaha pencegahan jenayah iaitu mereka bentuk persekitaran.

Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata konsep baru yang akan dilaksanakan secara meluas itu bagi menggembeling tenaga masyarakat ke arah usaha pencegahan jenayah.

"Konsep pencegahan jenayah reka bentuk persekitaran melibatkan taman-taman atau persatuan perumahan, institusi profesional seperti arkitek atau unit perancang bandar yang akan memikirkan bagaimana untuk melaksanakan konsep ini dengan berkesan.

"Ini bermakna setiap pembinaan yang dirancang akan diambilkira persekitarannya supaya tidak terselindung yang boleh mengurangkan risiko jenayah," katanya selepas merasmikan laman web Yayasan Pencegahan Jenayah negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. Turut hadir Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa.

Beliau berkata konsep ini telahpun dibuktikan iaitu satu konsep yang amat popular di negara barat yang dianggap sebagai salah satu cara positif dan berkesan kerana membantu dalam pencegahan jenayah.

Sementara itu beliau berkata MCPF tahun ini memfokuskan lebih banyak penubuhan kelab-kelab pencegahan jenayah di sekolah-sekolah kerana golongan ini merupakan aset penting yang bakal menjadi pemimpin negara satu hari kelak.

Beliau berkata di Terengganu 70 sekolah telah menubuhkan kelab pencegahan jenayah masing-masing iaitu 136 sekolah menengah dan 306 sekolah rendah.

No comments:

Post a Comment