MURID yang menjadi mangsa simbahan asid, Nurul Dahyatul Fazlinda Khalid, 9, ceria memulakan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Padang Setar, Kuala Berang Terengganu, semalam.
Murid yang menjadi mangsa simbahan asid oleh anggota keluarganya sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Khalid ceria memulakan hari pertama persekolahannya dalam darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Padang Setar, di sini Isnin.
Nurul Dahyatul hadir ke sekolah tanpa memakai topeng muka yang disediakan kepadanya dan rakan sekelasnya dilihat boleh menerima kehadiran Nurul Dahyatul walaupun dalam keadaan mukanya yang cacat.
Rakan sekelasnya yang juga rakan karib kepada Nurul Dahyatul sejak darjah satu, Nurul Ain Rosyaddi berkata, dia tidak takut untuk terus untuk berkawan dengan Nurul Dahyatul.
"Nanti kalau ada orang usik Nurul, Ain akan tolong bela," katanya yang duduk bersebelahan dengan Nurul Dahyatul dalam kelas Tiga Pintar.
Dia yang kelihatan akrab dengan Nurul Dahyatul berkata dia turut sedih dengan kejadian yang menimpa rakannya itu dan mengharapkannya supaya cepat sembuh.
Nurul Dahyatul yang ditemui pemberita pula memberitahu dia merasa amat gembira kerana dapat bersekolah seperti biasa selepas kejadian disimbah asid berlaku pada pertengahan Ogos lepas.
Katanya, dia tidur awal semalam untuk memastikan dapat bangun awal hari ini untuk memulakan persekolahan selain tidak sabar berjumpa rakan-rakan dan dia tidak memakai topeng muka kerana merasa tidak selesa selain gatal.
Sebelum itu Nurul Dahyatul yang tinggal di Kampung Sekayu iaitu tiga kilometer dari sekolahnya dijemput ke sekolah kira-kira pukul 7.30 pagi oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Engku Haripah Muda.
Dia kemudian dibawa ke kelas sebelum menerima lawatan Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu Shafruddin Ali yang turut diiring oleh Engku Haripah.
Ibunya Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, dan adiknya Muhammad Irfan Firdaus, 3, kemudian dilihat turut berada di kawasan sekolah lima minit selepas itu dan hanya melihat keadaan Nurul Dahyatul dari jauh.
Sebelum ini kanak-kanak itu dilaporkan suka menyendiri dan sering bertanyakan bila wajahnya akan kembal pulih dan tidak bersedia untuk ke sekolah.
Nurul terkena simbahan asid oleh anggota keluarganya sendiri pada 15 Ogos lalu ekoran satu pertelingkahan keluarga yang turut mencederakan Che Ku Zaimah, Muhammad Irfan Firdaus, dan neneknya, Minah Omar, 56.
Sementara itu Shafruddin berkata beliau telah mengarahkan pihak sekolah supaya memberi pengawasan terhadap Nurul Dahyatul untuk mengelakkan kanak-kanak itu menjadi mangsa ejekan rakan-rakan.
"Tetapi kita yakin rakan-rakannya di sekolah ini dapat menerima kehadiran Nurul Dahyatul dan kita juga telah meminta supaya guru-guru menasihati murid-murid lain supaya memberi sokongan kepada Nurul Dahyatul.
"Kita tidak mahu dia merasa rendah diri dengan kecacatan wajah yang dialami dan berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan rakan sekolah yang lain," katanya.
No comments:
Post a Comment