Wednesday, January 5, 2011

PBSNT Bangga Pemain Terengganu Cukup Berdisiplin

Mohd Ashaari menjaringkan gol pada perlawanan Piala Suzuki baru-baru ini.

Lima pemain Harimau Malaya kelahiran Terengganu bersama keluarga masing-masing diraikan dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Kuala Terengganu, kelmarin sebagai tanda menghargai jasa dan sumbangan mereka membantu menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

Mereka adalah Mohamad Ashaari Samsuddin, Mohd Sarbinee Allawee, Mohamad Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd Faizal Muhamad turut menerima sebuah jam tangan sebagai tanda penghormatan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Sebelum ini, semua pemain berkenaan menerima ganjaran RM5,000 dan lot tanah untuk tapak rumah daripada kerajaan negeri yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

PBSNT turut memberi hadiah kepada Manaf Mamat di atas kejayaan skuad bola sepak B-23 negara meraih pingat emas dalam Sukan SEA 2009 lalu.

Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh melahirkan rasa gembira kerana ramai anak Terengganu bermain dalam skuad bergelar ‘Harimau Malaya’ dan membantu mencipta kejayaan paling berharga selepas menundukkan Indonesia dalam final timbal balas.

“Saya diberitahu oleh (jurulatih) K Rajagobal bahawa semua pemain Terengganu cukup berdisiplin dan tidak menimbulkan sebarang masalah ketika menjalani latihan serta ketika bermain dalam final itu,” katanya selepas majlis berkenaan.

Terengganu, katanya, melahirkan ramai pemain bola sepak berbakat sejak dulu hingga berjaya diserapkan dalam skuad kebangsaan seperti Harun Jusoh dan Yahya Jusoh.

No comments:

Post a Comment