Teganukita (Isnin, 2 Jan 2011)
Menyusuri sungai sambil bersantai menikmati hidangan makanan tradisional khususnya nasi dagang menjadi tarikan terbaru kepada pengunjung yang melawat destinasi popular negara, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.
TTI menawarkan `Pakej Makan Nasi Dagang’ sebagai transformasi tarikan pelancongan yang mampu memberi kepuasan dan kelainan kepada setiap pengunjung.
Pakej makan atas bot yang turut disediakan kuih-muih dapat menambahkan lagi keseronokan semasa menikmati keindahan pemandangan di sekitar Bandar menyusuri sungai itu dengan mengenakan bayaran RM25 seorang bagi setiap perjalanan.
“Pakej Makan Nasi Dagang atas bot memang memberi kepuasan, selain makanan yang sedap, saya juga dapat mengenal tempat-tempat yang menarik di sekitar sungai Terengganu sepanjang perjalanan yang di lalui” kata Aminah bt Ibrahim, 47 salah seorang pemenang Program Kuiz Santai TTI-Tfm yang di temui ketika belayar bersama media, kelmarin (1 Januari).
Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran TTI, Puan Nor Sabihah Fidri, perkhidmatan “River Cruise”, TTI menyediakan beberapa jenis bot seperti Sri Wan Man, Seri Kristal dan Seri Warisan yang mampu memuatkan 45 penumpang setiap perjalanan dengan kadar bayaran RM10 seorang termasuk perlindungan insuran.
Katanya, bukan sahaja keseronokan belayar, pelancong juga boleh menikmati keindahan TTI dengan melawat 21 monumen masjid dan tempat-tempat bersejarah Islam.
“Bagi menambah lagi tarikan pengunjung, TTI sedang membina sebuah lagi replika masjid bersejarah iaitu Masjid Sultan Singapura dan sebuah kincir air sebagai tarikan baru di pusat pelancongan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment