Bermula hari ini di Kemaman, seramai 8,551 rakyat keturunan Cina di seluruh negeri Terengganu, bakal menerima agihan Dana Tahun Baru Cina sebanyak RM300 seorang.
Pemberian Kerajaan Negeri itu akan membabitkan peruntukan lebih RM2 juta bagi tujuan menyambut perayaan itu pada 3 Februari depan.
Mereka yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM1,500 layak menerima agihan itu selain dikategorikan sebagai berpendapatan rendah, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri mengharapkan dengan dana yang bakal diterima nanti dapat meringgankan beban terutama untuk membeli barangan keperluan raya.
Ahmad Said ketika mengumumkan perkara itu Rabu lalu berkata, agihan bermula di daerah Kemaman hari ini dengan peruntukan RM532,300.
“Sejumlah RM2.4 juta diperuntukkan bagi tujuan itu bagi mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah dengan setiap seorang bakal menerima RM300.
"Bagi daerah-daerah lain, wang saguhati tersebut akan diagihkan pada 15 Januari ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan bersama Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 5 Januari lalu.
Ini adalah khabar gembira buat rakyat berketurunan Cina di negeri ini dan ia menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang ‘kekurangan’ tanpa mengira kaum.
No comments:
Post a Comment