Kerajaan negeri Terengganu akan mengadakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Bandung, Indonesia dalam usaha menarik lebih ramai pelancong negara itu ke negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia juga sebagai langkah untuk memaksimumkan kemudahan di LTSM yang bertaraf antarabangsa itu.
"LTSM mempunyai landasan ketiga terpanjang selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Subang, jadi tidak guna kita mempunyai kemudahan itu jika tidak digunakan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Balai Polis Pantai Teluk Kalong di Kemaman, semalam yang turut dihadiri Komader Pasukan Gerakan Marin Wilayah Tiga ACP Mohd Salleh Mat Jani.
Ahmad berkata perbincangan sedang dilakukan dengan seorang ahli perniagaan dari Indonesia untuk menyediakan penerbangan itu menerusi Heritage Air.
"Dengan adanya penerbangan terus nanti, penduduk di pantai timur tidak lagi perlu ke Kuala Lumpur untuk ke Bandung, bagaimanapun jika jumlah penumpang tidak ramai dari sini, ia akan melalui Melaka terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata penerbangan itu dijangka dapat dimulakan akhir Mac ini atau awal April.
No comments:
Post a Comment