Seorang lelaki dikhuatiri lemas setelah terjun ke dalam sungai di Kampung Pulau Bahagia, di Kuala Terengganu malam Isnin.
Bagaimanapun laporan kehilangan Khairul Hakim Dagang, 20, hanya dibuat pada pukul 3 petang ini di Balai Polis Manir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Ismail Mat Hassan berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh 15 anggota termasuk unit skuba sebaik pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan itu.
Lelaki itu dikatakan berada di tepi sungai itu bersama tiga lagi rakannya dan menurut laporan yang diterima, dia bersama seorang rakan terjun ke dalam sungai itu apabila terkejut dengan kehadiran polis, katanya ketika di temui di tempat kejadian semalam.
Beliau berkata pemuda itu dikatakan tidak tahu berenang, manakala rakannya dapat menyelamatkan diri.
Ayah mangsa Dagang Ismail, 62, ketika ditemui berkata beliau mendapat tahu mengenai kejadian membabitkan anak bongsunya itu pagi ini melalui rakan-rakan anaknya dan terus meminta penduduk kampung mencarinya.
"Saya membuat laporan polis setelah tidak menemuinya. Sebelum ini anak kelima saya sudah seminggu tidak keluar rumah kerana tangannya terseliuh.
"Setahu saya semalam dia keluar bersama rakan untuk memancing di sungai itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, pihak polis yang dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan.
No comments:
Post a Comment