Jabatan Perhilitan negeri Terengganu merampas sepasang pelanduk dan pelbagai spesis burung yang dilindungi dari sebuah rumah pesara guru di Kampung Gong Kekabu, Kubang Parit di sini hari ini.
Pengarahnya Yusoff Shariff berkata serbuan pada pukul 2 petang itu dibuat setelah menerima maklumat daripada orang awam mengenai kewujudan sebuah mini zoo di halaman rumah pesara guru itu.
"Kami menemui sepasang pelanduk dan tiga ekor burung punai daun, seekor burung merbah telinga merah dan dua ekor burung 'ringneck tarakeet' dari luar negara.
"Kesemua haiwan berkenaan adalah jenis yang dilindungi sepenuhnya dan kami telah menahan pesara guru berkenaan yang berumur 57 tahun kerana dia tidak mempunyai lesen memelihara haiwan itu," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Yusoff berkata kesemua spesis burung itu memerlukan lesen khas untuk dipelihara dan untuk pelanduk pula ia perlu mendapat permit khas.
Beliau berkata bagaimanapun, Perhilitan tidak lagi mengeluarkan lesen memelihara burung sejak penularan wabak selesema burung tahun 2001 dan larangan itu belum ditarik balik.
"Siasatan awal mendapati pesara berkenaan baru setahun memelihara haiwan-haiwan itu dan tidak tahu mengenai kesalahan yang dilakukannya. Dia memperoleh haiwan itu dengan membelinya dan ada yang diberikan orang kampung," katanya.
Mengenai haiwan yang dirampas itu, Yusoff berkata pelanduk berkenaan akan dibawa ke pusat pelindungan jabatan itu manakala pelbagai spesis burung terbabit akan dilepaskan ke habitat semula jadi.
No comments:
Post a Comment