Kira-kira 200 nelayan miskin dan warga emas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima bantuan barangan makanan baru-baru ini bagi memberi kelegaan kepada mereka ketika menghadapi musim tengkujuh.
Bantuan yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ternyata menggembirakan mereka dan menyifatkan ia sebagai tanda kecaknaan pemimpin dan kerajaan secara berterusan terhadap nasib mereka.
Penyampaian barangan bernilai RM200 dan juga duit saku dilakukan dalam majlis dialog bersama kira-kira 1,000 penduduk setempat dalam usaha Menteri Besar meninjau permasalahan semasa dalam kehidupan mereka.
Ketika berucap, Ahmad Said mengajak penduduk untuk bersama menjayakan segala program yang dapat meningkatkan taraf hidup mereka.
Beliau berkata, segala usaha kerajaan adalah langkah merakyatkan pentadbiran dan pembangunan supaya rakyat dapat menerima manfaatnya.
“Kerajaan negeri membuka banyak peluang untuk rakyat menceburi pelbagai bidang pekerjaan, menimba pelbagai kemahirandan pengalaman.
“Ia dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan kerajaan harap sokongan berterusan untuk jayakan usaha ini,” katanya.
Seorang penerima, Awang Ibrahim, 55, berkata, dia amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi menyampaikan bantuan itu yang dapat meringankan bebanannya pada musim tengkujuh ini.
“Kami gembira Menteri Besar turun padang bertemu dengan rakyat dan menghulurkan bantuan tersebut,” katanya.
Che Hamid Mohamad, 70, berkata, sikap yang ditunjukkan Menteri Besar membuktikan dia dapat menyelami perasaan dan kehidupan rakyat.
“Alhamdulillah, pada musim ini ketika nelayan sukar ke laut dan lain-lain cari makan sendiri, tak banyak rezeki. Jadi, bantuan ini dapat melegakan kami,” katanya.
Che Wan Mok Che Wan Sulong, 56, berkata, kebanyakan penduduk tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dalam keadaan cuaca begini, pendapatan mereka terjejas.
“Apatah lagi banyak juga yang perlu dibelanjakan untuk anak-anak kembali ke sekolah.
“Kami penduduk berterima kasih kepada Menteri Besar yang masih sempat meluangkan masa dan tak jemu-jemu untuk turun padang bertemu kami dan berikan bantuan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment