Saturday, January 15, 2011

Program ETA Diteruskan Buat Tahun Keenam Di Terengganu

Program Pembantu Bahasa Inggeris (ETA) diteruskan buat tahun keenam dengan ketibaan seramai 17 tenaga pengajar dari Amerika Syarikat.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Terengganu, Zuber Embong berkata kumpulan tersebut yang terdiri daripada 13 wanita dan empat lelaki akan ditempatkan di beberapa sekolah pilihan di setiap daerah dua minggu lagi.

"Sebelum ditempatkan di sekolah-sekolah, mereka akan menjalani kursus orentasi yang akan dikendalikan oleh pihak pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak Jabatan Pelajaran selama dua minggu," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya orentasi tersebut bertujuan memberi mereka pendedahan kepada budaya dan adat resam masyarakat, sistem pendidikan Terengganu dan membantu mereka menguasai bahasa Melayu dan dialek tempatan.

Menurut Zuber, kumpulan ETA tersebut kesemuanya mempunyai ijazah dalam pelbagai bidang.

Katanya setiap tahun tidak timbul sebarang masalah dalam mengendalikan Program ETA malah sekolah amat mengalu-alukan bantuan yang diterima melalui program tersebut terutamanya dalam membantu pelajar negeri itu menguasai bahasa Inggeris.

Program berkenaan merupakan kerjasama antara kerajaan negeri Terengganu dan Malaysian-American Commission On Education Exchange (MACEE).

Sementara itu, Blair Daily dari Washington berkata beliau menyertai program tersebut kerana mahu mempelajari lebih mendalam mengenai kesenian Terengganu dan agama Islam di Malaysia.

Beliau yang memiliki Ijazah Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak selepas mengikuti pengajian selama satu semester pada 2009, mahu meningkatkan kecekapan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah di sini melalui sukan dan muzik.

Bagi Megan Huber, beliau berminat untuk mengajar Bahasa Inggeris kerana mempunyai pengalaman sebagai tenaga pengajar.

No comments:

Post a Comment