"Saya kira Perdana Menteri selaku Presiden UMNO sering menegaskan pilihan raya akan datang amat berbeza, untuk memastikan kemenangan tidak semestinya orang kuat parti yang dipilih sebagai calon, tetapi orang yang boleh memenangkan parti ialah dicalonkan mewakili parti. Senario politik hari ini sudah berubah, parti penting, tetapi siapa yang mewakili parti menjadi lebih penting..." - Khazan Che Mat
Oleh Khazan Che Mat (Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu)
Berita Harian, 20 Jan 2011
Selepas sekian lama mendakwa perjuangan parti untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud, hari ini PAS lebih bertolak ansur dan kurang bercakap matlamat itu.
Ia bukan sejak parti itu mula berbaik dengan DAP akhir-akhir ini, bahkan sejak menguasai Terengganu 1999 PAS dilihat mula berubah pendekatannya apabila presidennya yang juga Menteri Besar Terengganu ketika itu mengatakan hukum hudud hanya 0.0001 peratus daripada keseluruhan ajaran agama Islam dan tidak perlu disegerakan.
Ia tidak mengejutkan bagi orang yang memahami agama apabila hudud disebut sangat kecil berbanding keseluruhan Islam, tetapi saya tidak dapat bayangkan reaksi orang ramai khususnya penyokong parti pembangkang jika perkara ini diucapkan oleh pemimpin kerajaan.
Itulah hebatnya pembangkang, mereka berjaya menjadikan Islam seolah-olah hanya dalam parti mereka. Hanya kenyataan pemimpin mereka yang diterima dalam hal agama.
Penyokong kerajaan pernah dituduh kafir kerana bekerjasama dengan bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN) suatu masa dulu. Hari ini selepas menyertai pakatan pembangkang bersama DAP pelbagai dalil daripada sirah, hadis dan ayat al-Quran dikemukakan untuk memberi justifikasi kepada penyertaan mereka.
Pembangkang menafsirkan kerjasama dalam BN sebagai memberi wala' kepada bukan Islam dan kerjasama mereka dalam pakatan dihuraikan tahalluf siyasi atau kerjasama politik semata-mata dan tidak menggadai perjuangan walaupun rakan dalam pakatan masih tegas menolak negara Islam.
Semua ini bukan pelik bagi golongan yang memahami agama, mereka sudah lama maklum bagaimana agama dipergunakan pembangkang untuk menarik sokongan.
Contoh mudah, nada mereka dalam isu lesen arak berbeza apabila mereka menjadi kerajaan berbanding masih jadi pembangkang.
Terkini kenyataan Mursyidul Am parti itu mengenai pelaksanaan hukum hudud yang tidak dapat diteruskan kerana bimbang kehilangan Kelantan berikutan tindakan yang dijangka akan diambil oleh kerajaan Pusat juga amat mengelirukan bagi orang ramai, namun kepada yang memahami agama dan kaedah hukum syarak ia semakin menjelaskan lagi permainan politik berlapikkan agama yang dimainkan oleh parti itu.
Sekali lagi saya juga tidak dapat membayangkan jika kenyataan seperti itu diucapkan pemimpin kerajaan. Sudah tentu pelbagai tuduhan dibuat seperti lebih takutkan manusia daripada Allah atau tidak yakin kepada pertolongan Allah.
Apa pun bagi orang ramai terutama yang berpendidikan, perubahan ini menjadikan mereka melihat sudah tiada beza ketara antara perjuangan parti pembangkang dan kerajaan.
Isu negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud tidak lagi keutamaan kepada pembangkang seperti juga kepada parti kerajaan. Ternyata apa yang dibuat kerajaan hari ini walaupun ada kelemahannya, bertepatan dengan prinsip agama seperti mendahulukan yang utama, memilih mudarat lebih ringan antara mudarat yang terpaksa dilalui atau menjaga kepentingan umum berbanding individu dan kaedah lain lagi. Kaedah inilah yang dijelaskan oleh pembangkang hari ini untuk mengharuskan tindakan mereka.
Akhirnya orang ramai tidak lagi melihat parti sebagai asas untuk memilih pada pilihan raya, tetapi untuk memastikan pembentukan kerajaan yang baik mereka akan melihat siapa calon parti yang bertanding.
Hari ini jika dikatakan kerajaan sekarang akan semakin hilang pengaruh apabila rakyat semakin berpendidikan dan faham hal ehwal pemerintahan dengan mengambil fakta kemenangan parti kerajaan lebih besar di kawasan luar berbanding luar bandar, saya kira pembangkang yang bermodalkan agama juga akan semakin hilang pengaruh apabila rakyat makin faham agama dan kaedah hukumnya.
Kemenangan Allahyarham Datuk Razali Ismail di Parlimen Kuala Terengganu pada 2008 walaupun BN kalah di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen itu dan lahirnya pemikiran baru dalam parti pembangkang daripada golongan muda dan profesional adalah manifestasi hakikat ini.
Memahami realiti inilah, saya kira Perdana Menteri selaku Presiden UMNO sering menegaskan pilihan raya akan datang amat berbeza, untuk memastikan kemenangan tidak semestinya orang kuat parti yang dipilih sebagai calon, tetapi orang yang boleh memenangkan parti ialah dicalonkan mewakili parti.
Senario politik hari ini sudah berubah, parti penting, tetapi siapa yang mewakili parti menjadi lebih penting.
No comments:
Post a Comment