Veteran UMNO Bahagian Kuala Nerus, gembira ketika berjumpa dengan pemimpin nombor satu negeri ini, Ahmad Said di UMT, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.
UMNO Terengganu memerlukan tunjuk ajar dan nasihat golongan veteran kerana mereka lebih berpengalaman dan mengetahui isi hati rakyat berbanding pemimpin generasi sekarang.Sehubungan itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri, meminta agar golongan berkenaan tidak menjauhkan diri daripada Umno kerana beliau dan rakan-rakan seperjuangan amat memerlukan jasa, tunjuk ajar dan pengalaman mahal yang dimiliki golongan tersebut.
“Kami sanggup menerima teguran serta kritikan sekiranya terdapat kesalahan dalam mentadbir negeri. Setiap teguran akan diterima secara positif, semata-mata untuk kepentingan rakyat dan masa depan Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Veteran di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, YB Encik Ahmad Razif Abd Rahman.
Manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk yang juga Adun Teluk Pasu, YB Dato’ Abdul Rahin Mohd Said; Adun Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pengerusi Majlis Veteran Umno Bahagian Kuala Nerus, Syed Muhammad Syed Idrus turut hadir dalam majlis yang dihadiri lebih 2,000 veteran Umno.
Pada majlis anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) itu, seramai 20 veteran menerima Anugerah Jasamu Dikenang dan sembilan individu uzur menerima bantuan kerusi roda.
No comments:
Post a Comment