Thursday, January 6, 2011

SKM Terengganu Tumpu Koperasi Pelancongan Dan Pemborongan

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu akan menumpukan usaha untuk memperbanyakkan lagi Koperasi Pemborongan dan Koperasi Pelancongan pada tahun ini.

Pengarahnya Umar Sarim Saidin berkata ini kerana kedua-dua bidang tersebut kurang diceburi oleh koperasi di negeri itu sedangkan kedua-dua aktiviti itu banyak terdapat di negeri itu.

"Terlalu sedikit ada koperasi pemborongan dan koperasi pelancongan di negeri Terengganu jika dibanding dengan peluang yang ada," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Sebagai contoh, beliau berkata pada masa kini hanya terdapat tiga koperasi pemborongan di Terengganu iaitu Koperasi Perwaja Berhad, Koperasi PMINT dan Koperasi Ladang Rakyat Terengganu Berhad.

Beliau berkata tiga koperasi itu diberikan lesen barangan terkawal seperti tepung, minyak masak dan diesel.

Bagaimanapun, katanya koperasi pelancongan agak berkembang iaitu daripada empat buah pada tahun 2009 meningkat kepada 10 pada tahun lepas.

Umar Sarim berkata sebagai langkah galakan, SKM telah mengundang koperasi pelancongan berjaya di Sabah iaitu Koperasi Mukim Batu Putih, Kinabatangan Berhad untuk berkongsi pengalaman mereka di sini November lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata SKM telah berjaya menubuhkan sebanyak 450 buah koperasi dalam pelbagai bidang sehingga akhir tahun lalu dan untuk tahun ini SKM mensasar untuk menubuhkan 50 buah koperasi baru di negeri ini.

No comments:

Post a Comment