Thursday, January 13, 2011

Syarikat Bungkus Minyak Masak DiPeriksa

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kini melakukan pemeriksaan dan mengaudit semua syarikat pembungkusan semula minyak masak di negara ini bagi membendung kekurangan bekalan di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemeriksaan itu bagi mengenal pasti punca kekurangan bekalan bahan mentah itu sejak beberapa minggu lalu. “Kita melakukan pemeriksaan ke atas semua syarikat pembungkusan semula minyak masak untuk tahu ke mana hilangnya minyak masak itu di pasaran.

“Selain itu, kita juga akan periksa pemborong dan peruncit bagi mengenal pasti mengapa bahan itu tidak boleh sampai ke pengguna,” katanya selepas melancarkan produk Takaful Keluarga Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) hasil kerjasama dengan Etiqa Takaful Berhad (Etiqa Takaful)di Kuala Lumpur, semalam.

Ismail Sabri berkata, setakat ini, pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas enam syarikat dan menyita satu syarikat berhubung kekurangan bekalan itu di pasaran.

“Sekiranya mereka didapati bersalah melakukan penyelewengan sehingga menyebabkan kurangnya bekalan minyak masak di pasaran, kita akan mengambil tindakan keras mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Kelmarin Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Terengganu menyita sebuah premis membungkus minyak masak tidak berlesen dan merampas 4,000 kilogram minyak masak bernilai RM10,000 di Kampung Padang Lebam, Bukit Payong, di Marang.

Ketika serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari diketuai Timbalan Pengarah PDNKK, Ab Ghani Harun, tiga pekerja premis terbabit sedang membungkus minyak dalam paket satu kilogram untuk dijual di pasaran tempatan.

Ab Ghani berkata, premis rumah kedai berkenaan dikesan menjalankan kerja pembungkusan semula minyak masak tanpa lesen sah sejak lebih setahun lalu dan turut menyimpan dua tangki minyak masak besar dan satu tangki kecil dalam premis berkenaan.

Beliau berkata, peniaga terbabit melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan sabit kesalahan boleh dihukum denda RM100,000 atau penjara tiga tahun mengikut Seksyen 22 (1)(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

No comments:

Post a Comment