Thursday, January 13, 2011

Jalan Kuala Berang-Gua Musang Ditutup

Jalan yang menghubungkan Kuala Berang dengan Gua Musang di Kelantan terpaksa ditutup ekoran mendapan di beberapa lokasi sepanjang laluan tersebut.


Jalan menghubungkan Kuala Berang dengan Gua Musang di Kelantan ditutup kepada semua pengguna jalan raya mulai hari ini kerana keadaannya tidak begitu selamat.

Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, hujan lebat yang berterusan sejak akhir tahun lalu telah menyebabkan berlakunya mendapan dan kegagalan cerun di beberapa lokasi.

Kejadian mendapan telah dikesan berlaku pada tiga lokasi iaitu di kilometer 35, kilometer 47 dan kilometer 59 pada jalan tersebut yang berada dalam daerah Hulu Terengganu.

Ia bermula 35 kilometer dari Simpang Kuala Jeneris dan satu kilometer dari Jambatan Pasir Pulai menghala ke Gua Musang.

Menurut kenyataan itu, hasil pemantauan dan siasatan pihak JKR mendapati jalan itu perlu ditutup sementara bagi menjamin keselamatan pengguna dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan.

Penutupan jalan akan bermula hari ini dan kerja-kerja pembaikan akan dimulakan secepat mungkin.

JKR negeri menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi kesemua papan tanda dan tunjuk arah yang disediakan.

"Pengguna jalan raya dari Pantai Barat yang bercadang ke Terengganu hendaklah melalui jalan-jalan lain iaitu Jalan Kuala Lipis/Gua Musang/Kuala Krai (FT 8)," kata kenyataan itu.

Menurutnya, pengguna dari Kuala Lumpur dan bahagian tengah Pahang dinasihatkan melalui Lebuh Raya Pantai Timur dan masuk ke Terengganu melalui Kemaman sama ada melalui Jalan FT 14 (Jalan Jerangau/Jabor).

Mereka juga boleh menggunakan Jalan FT 3 (Cukai/Dungun/Kuala Terengganu).

Pengguna-pengguna dari bahagian utara Semenanjung dinasihatkan supaya masuk ke Terengganu melalui daerah Besut iaitu FT 3 (Pasir Puteh/Jerteh/Kuala Terengganu).

No comments:

Post a Comment