Saturday, January 1, 2011

TATiUC Dan Institut Pertanian Bogor Jalin Kerjasama Bidang Pertanian

Kolej Universiti Tati (TATiUC) di sini akan menjalin kerjasama dengan Institut Pertanian Bogor, Indonesia, dalam penyelidikan pertanian terutama berhubung automotif jentera pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata bagi memperkemaskan usahasama itu pertukaran pensyarah dari kedua-dua institut pengajian itu akan dilakukan Januari ini.

"Satu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pusat pengajian itu telah diadakan ketika (rombongan) kerajaan negeri mengadakan lawatan ke negara tersebut baru-baru ini," katanya selepas program menggunting rambut pelajar sekolah semalam.

Kira-kira 200 kanak-kanak telah hadir untuk mendapatkan khidmat menggunting rambut percuma, pertama kali diadakan di kawasan Seberang Takir.

Mengulas lanjut Ahmad Razif berkata, dalam program tersebut, pensyarah-pensyarah berkenaan akan didedahkan dengan teknik bagaimana untuk mengendalikan automatif jentera pertanian berteknologi tinggi.

Menurutnya kerjasama berkenaan amat penting bagi Terengganu apabila bidang pertanian merupakan antara fokus utama dalam menyumbang kepada ekonomi negeri.

Katanya, Institut Pertanian Bogor yang ditubuhkan pada 1963, sehingga kini sudah mendidik seramai 45,000 pelajar.

No comments:

Post a Comment